BELURAN - Kira-kira 7,000 pelajar dari 60 sekolah dalam Parlimen Beluran di sini, menerima bantuan Program Balik Ke sekolah (CSR) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, NAFAS menyediakan peruntukan RM580,000 pada tahun ini untuk pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat  (CSR).

“Penyampaian bantuan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara mulai Januari  lepas dan sumbangan diberikan merupakan kelengkapan persekolahan termasuk beg, buku serta alat tulis, kepada golongan sasar khususnya dalam kalangan ahli keluarga petani, penternak dan nelayan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu di sini.

Katanya, NAFAS prihatin dan mengambil berat dalam meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah terutama ketika persediaan anak-anak mahu ke sekolah.

“Dalam mendepani situasi semasa di mana pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir ini, adalah diharapkan bantuan yang disampaikan pada hari ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan terutama dalam membuat persiapan awal persekolahan anak mereka,” katanya lagi.

Menurut Kiandee, pemberian sumbangan itu bukan sahaja untuk menyalurkan bantuan kepada ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (Peladang) sahaja sebaliknya kepada masyarakat setempat juga.

“Hal ini dibuktikan hasil keuntungan yang dijana oleh NAFAS, bukan sahaja dikembalikan kepada lebih 900,000 ahli Peladang, sebaliknya dikongsi juga bersama-sama seluruh rakyat yang memerlukan, misalnya 13 buah enjin sangkut turut disampaikan kepada penerima yang layak," katanya.

Dr Ronald Kiandee (tengah) menyerahkan enjin sangkut kepada nelayan Madon Amin (kanan) pada majlis Jom Ke Sekolah dan penyampaian enjin sangkut anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan. Turut hadir Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Abu Sujak Sahuji (kiri). FOTO: BERNAMA

Katanya sementara itu, semua lapisan masyarakat dinasihatkan mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi My Sejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my - BERNAMA

Artikel menarik

5 perkara yang perlu pelajar fikirkan sebelum buat pilihan pengajian. Ikuti pandangan guru ini

Keberanian pelajar Tingkatan Dua bantu operasi SAR, dapat pengiktirafan polis