KOTA KINABALU - Sebuah asrama dua tingkat sekolah pondok Tarbiyatun Nisa di Kampung Marabahai, Tuaran, musnah dalam kebakaran jam 6.55 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, api yang cepat merebak telah memusnahkan bangunan separuh kekal itu.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.58 pagi sebelum turun ke lokasi bersama sembilan anggota dan dua jentera.

"Pasukan bomba bertindak membuat pemadaman dan seterusnya pemeriksaan menyeluruh dijalankan di kawasan terbakar bagi memastikan tiada bahaya lain.

"Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 7.38 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Sementara itu, pengurus asrama sekolah pondok berkenaan, Aishah Abdul Halim berkata, kejadian disedari selepas kuliah Subuh apabila pelajar bergerak dari surau ke asrama.

Menurutnya, asrama yang menempatkan 41 pelajar berusia antara 7 hingga 26 tahun, terdiri daripada anak-anak golongan fakir miskin dari seluruh Sabah termasuk Daerah Nabawan, Pitas dan Sandakan.

Katanya, hanya tujuh pelajar yang mengalami sesak nafas kerana berada di dalam asrama ketika kejadian, bagaimanapun keadaan mereka tidak membimbangkan. - Bernama

Sehubungan itu, Aisah memohon sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban penghuni dan pihak pengurusan dalam membangunkan semula bangunan yang terbakar.

"Kami membuka ruang untuk kita semua menanam saham bagi menaja uniform rasmi pelajar Tarbiyatun Nisa," katanya.

Menurut beliau, hampir keseluruhan pelajar tidak sempat menyelamatkan uniform rasmi mereka, kerana ketika kejadian mereka baru sahaja pulang dari surau dalam keadaan masih bertelekung sejak Subuh.

Pelajar ini baharu pulang dari surau ketika mendapat tahu asrama penginapan mereka hangus.

Perincian barangan sumbangan yang diperlukan adalah seperti berikut:

1. Pakaian rasmi: Jubah hitam dan tudung labuh hitam

2. Makanan

3. Baju dan tudung yang menepati syariat

4. Kit mandian (sabun, syampu, berus gigi, ubat gigi)

5. Alat tulis

6. Stoking dan sarung lengan

7. Tuala mandi

Sila hantar ke alamat :

Tarbiyatun Nisa'

Jalan Marabahai Tambalang 2

Tuaran, Sabah

Sebarang sumbangan boleh dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam 10052010114368 atas nama Pertubuhan Amal Tarbiyatun Nisa.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-4148823 (Aisyah) dan 013-8962076 (Ustazah Rosnani Untol).

Sementara itu pada Ogos tahun ini asrama penginapan pelajar perempuan Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar juga hangus.

Berita penuh boleh dibaca melaluui link ini https://www.gpsbestari.com/mobile/berita/perak/lagi-asrama-puteri-terbakar-1.869307