KUDAT - Projek pembinaan Asrama Harian Luar Bandar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan yang dibiayai Petronas dekat sini memberi manfaat besra kepada murid.

Guru Besar SK Balambangan, Salmat Besar berkata, sekolah itu mempunyai 10 orang guru dan 78 murid yang merupakan penduduk dari empat kampung di sekitar pulau itu, yakni Kampung Selamat, Kampung Selamat Darat, Kok Simpul dan Batu Sirih.

Artikel berkaitan : 'Saya ke sekolah bergantung keadaan cuaca dan bot' - Petronas bantu murid SK Balambangan (5 foto)

Katanya pada masa sekarang terdapat 20 murid tinggal di asrama, iaitu 10 murid lelaki dan 10 murid perempuan Tahun Enam dari Kampung Batu Sirih dan Kok Simpul.

"Asrama ini dibina bagi mengurangkan jumlah ketidakhadiran murid khususnya membabitkan Tahun Enam yang tinggal jauh dari kawasan sekolah,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK  Balambangan, Azmi Kaba pula berkata, pembinaan asrama harian yang ditaja oleh Petronas itu membolehkan lebih ramai murid tinggal di asrama.

Katanya, asrama itu akan memberikan banyak manfaat dan kemudahan, khususnya kepada murid yang tinggal jauh dari kawasan sekolah terutama dari Kampung Kok Simpul dan terpaksa berjalan kaki selama sejam untuk sampai ke sekolah, dan murid dari Batu Sirih yang perlu menaiki bot.

Menurutnya, bagi murid dari kampung Kok Simpul mereka juga berhadapan ancaman bahaya hidupan liar seperti babi hutan, kerana mereka terpaksa meredah kawasan hutan untuk ke sekolah.

"Bagi murid dari Kampung Batu Sirih, kehadiran mereka ke sekolah bergantung kepada cuaca dan jika cuaca buruk mereka tidak dapat pergi ke sekolah ataupun masalah bot jika tiada bekalan minyak," katanya.

Sementara itu, Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman berkata projek bernilai RM4 juta yang dilaksanakan sejak April tahun lepas berjalan dengan lancar dan kemudahan itu dijangka siap sepenuhnya pada September ini.

"Projek itu merupakan sebahagian daripada sumbangan syarikat petroleum berkenaan dalam meningkatkan prasarana pendidikan di luar bandar di negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata apabila siap pada September ini, dua blok asrama yang turut dilengkapi dengan dewan makan, surau, pejabat warden dan sistem dinding tiub itu mampu memuatkan 60 murid lelaki dan 60 murid perempuan.

"Pembinaan asrama ini merupakan salah satu daripada dua projek infrastruktur pendidikan yang diumumkan oleh Petronas di Sabah untuk meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan pelajar Sabah," katanya ketika ditemui pada lawatan media ke asrama itu, semalam.

Menurutnya, satu lagi projek yang dibiayai Petronas di Sabah ialah pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau untuk kapasiti 400 pelajar yang sudah dimulakan pada tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2021.

Rokiah berkata, pembinaan asrama harian SK Balambangan akan menambah jumlah murid boleh tinggal di asrama khususnya mereka yang tinggal jauh dari kawasan sekolah dan seterusnya mengatasi masalah ketidakhadiran murid ke sekolah.

Pulau Balambangan terletak 40 minit perjalanan menaiki bot dari Pekan Kudat dan terletak bersebelahan dengan Pulau Banggi.

Terdapat hampir 400 penduduk kampung di pulau itu yang kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan. - Bernama

Baca:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Terperangkap dalam hujan lebat, Baverly sanggup gendong pelajar Pendidikan Khas redah air

Lima sebab KPM tamatkan khidmat 1BestariNet dan alternatif yang disediakan

Ibu nak anak cepat pandai, mungkin 6 teknik orang Jepun didik anak ini boleh bantu

Guru, pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu kini dalam keadaan stabil