Jabatan pendidikan Negeri Sabah akan meminjamkan sebuah bas kepada Pejabat pendidikan Daerah (PPD) Tongod, khusus untuk membawa pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon, Tongod, berulang alik antara sekolah dan asrama mereka mulai minggu depan.

 Ini kerana mulai minggu depan, van swasta yang mengenakan tambang RM2 sehari untuk perkhidmatan ulang alik di laluan itu akan menghentikan perkhidmatannya mulai Isnin ini.

"PPD Tongod dijangka akan mengambil bas itu di jabatan (Kota Kinabalu) pada hujung minggu ini," kata Pengarah pendidikan Sabah Dr Mistrine Radin dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Asrama berkenaan terletak kira-kira 1.8 km dari sekolah, dan difahamkan pelajar di asrama itu bercadang untuk berjalan kaki setiap hari apabila perkhidmatan van berkenaan dihentikan nanti.

Sementara itu Mistrine berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan Majlis Daerah Kinabatangan untuk membina bangunan asrama baharu dekat dengan sekolah itu.- BERNAMA