KENINGAU - Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (VK) Keningau Mohd Al-Khalifa Mohd Affnan dipilih sebagai antara calon bagi Anugerah Komuniti untuk Kewarganegaraan di Dubai yang akan berlangsung 26 Febuari ini.

Pengarah KV Keningau Johari Sabin berkata pencalonan guru itu dalam anugerah berkenaan kerana sumbangannya terhadap sekolah dan komuniti dalam bidang pembelajaran teknologi, robotik, dron dan program pertukaran budaya.

"Mohd Al-Khalifa juga jurulatih pasukan sekolah sehingga mendapat tempat ketiga dalam pertandingan robotik antarabangsa di Seoul pada 2018.

"Sejak 2017, beliau (Mohd Al-Khalifa) telah melaksanakan program pertukaran pelajar dan guru dengan sekolah-sekolah di Korea Selatan yang membolehkan pelajar serta guru KV Keningau menimba pengalaman selama seminggu di negara tersebut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Johari berkata sebelum ini Mohd Al-Khalifa pernah memenangi pertandingan projek sosial dengan kempen alam sekitar yang menggalakkan penggunaan semula bahan-bahan terpakai.

Katanya, KV sentiasa menggalakkan gurunya menceburi pelbagai bidang yang boleh diguna pakai dalam pendidikan sama ada bidang teknologi, kesenian, sukan, penyelidikan, kemahiran, keusahawanan serta inovasi.

"Budaya ini telah berjaya membantu KV Keningau memperoleh pelbagai pencapaian di dalam dan luar negara," katanya.- Bernama

Artikel Menarik:

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Seronok rupanya kaedah ‘Flipped Classroom’ - Untung budak sekarang

Cara ustaz ini ajar Pendidikan Islam buat pelajar benar-benar faham konsep aurat