Roseanne Nelson, guru bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional (KV) Keningau merupakan satu-satunya penerima geran penyelidikan berjumlah kira-kira RM2,000 dalam bidang Bahasa dari SEAMEO QITEP in Language yang berpusat di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Beliau menjalankan penyelidikan berkenaan dengan penggunaan visual dalam pengajaran bahasa Inggeris sebagai teknik untuk merangsang penggunaan bahasa serta kemahiran pemikiran terutamanya bagi pelajar-pelajar yang masih agak lemah dalam bahasa tersebut.

Cikgu Roseanne menggunakan beberapa gambar seperti gambar yang berbentuk komik, gambar daripada novel dan gambar yang diambil daripada kehidupan seharian sebagai alat bantu mengajar bagi eksperimen ini.

Penyelidikan tersebut dilaksanakan dalam masa tiga bulan termasuklah penyediaan bahan, penulisan laporan serta analisa data.

Hasil dapatan Cikgu Roseanne menunjukkan bahawa pelajar mampu menulis karangan yang lebih panjang dengan idea yang lebih mendalam apabila visual digunakan dalam aktiviti tersebut.

Terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa para pelajar berasa lebih selesa dan bermotivasi untuk menggunakan imaginasi mereka apabila menulis karangan berdasarkan gambar yang diberi tanpa sebarang format tertentu.

Namun, pemilihan dan penggunaan visual dalam pengajaran juga perlu diambil kira memandangkan visual yang terlalu banyak atau kompleks boleh menyebabkan pelajar menghadapi kesukaran untuk menjana idea.

Cikgu Roseanne akan menggunakan geran tersebut untuk menyediakan bahan-bahan yang diperlukan dalam penyelidikannya dan berhasrat membentang kajian berkenaan pada persidangan serta menerbitkan artikel ilmiah di jurnal akademik kelak.

Terdahulu, Cikgu Roseanne merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan merupakan gadis kelahiran Keningau yang membesar di Tambunan. Beliau mula mengajar di KV Keningau pada tahun 2019 sehingga kini.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin sentiasa menggalakkan guru-gurunya melaksanakan kajian dan inovasi dari masa ke semasa untuk menambah baik amalan pengajaran mereka.

"Para guru dan pelajar kolej ini, sememangnya sentiasa aktif menyertai pertandingan dan persidangan di dalam dan luar negara juga telah memenangi pelbagai anugerah dan geran.

"Sebagai pengarah, sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini dan berharap akan lebih banyak kejayaan tercipta selepas ini," ujarnya.  

Artikel menarik

Pembelajaran Teradun: Apa yang perlu kita tahu?

Guru SK Kg Baharu, Jerantut, harungi denai santuni murid memberi pengiktirafan dari rumah ke rumah