Dua mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mewakili universiti pada pertandingan ‘Talk-Show Mahasiswa Indonesia-Malaysia 2021’ baru-baru ini, mengharumkan nama UMS apabila berjaya memenangi beberapa pencapaian pada pertandingan tersebut.

Muhammad Iman Azhar dan Martika Muhamad Rezuan, masing-masing mahasiswa Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), muncul Johan bagi kategori Pembentangan Terbaik, selain inovasi program Digital Hero yang dibentangkan turut terpilih sebagai pemenang Inovasi Terbaik.

Malah, UMS juga turut muncul Naib Johan bagi kategori Kampus Inovatif pada pertandingan yang berlangsung secara maya itu.

Muhammad Iman dan Martika menerima sijil kemenangan daripada Politeknik Aceh Selatan (POLTAS) selaku penganjur pertandingan.

Talk-Show Mahasiswa Indonesia-Malaysia 2021 turut disertai beberapa institut pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia.

Antara IPT Malaysia yang menyertainya adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Polytech Mara Kuala Lumpur (KUPTM).

Manakala IPT dari Indonesia pula antaranya Universitas Syiah Kuala (USK), Politeknik Caltex Riau (PCR), Universitas Widya Kartika Surabaya (UWIKA), POLTAS, Politeknik Perkapalan Negeri Surabaya (PPNS) dan Akfar YPPM Mandiri Banda Aceh.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Dr Jurry Foo berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan sistem pembelajaran di PKPP UMS dalam membimbing penuntut memperkasakan bakat dan potensi serta bersedia menghadapi dunia sebenar.  

“Peluang menawarkan siswa menyertai acara antarabangsa seperti ini akan memberikan pengalaman yang bermakna.

“Ini juga adalah platform terbaik untuk memberikan motivasi kepada siswa UMS untuk terus menunjukkan keupayaan mengoptimummkan pengetahuan dan kemahiran mencipta sesuatu yang kreatif dan inovatif dalam menghadapi kehidupan normal baharu,” katanya.

Jurry Foo turut mengucapkan terima kasih kepada pensyarah pembimbing kedua-dua mahasiswa tersebut, iaitu Juhar Harun dan Stella @ Nurul Martini Gontol yang sentiasa proaktif menjadi penggerak PKPP UMS dalam melahirkan penuntut universiti yang holistik.

Sumber: Portal Universiti Malaysia Sabah

Artikel menarik

‘Ayah, mak dan SPM 2003...inilah momen indah yang pasti kekal hingga akhir hayat’ - Dr Nurulhuda

“Saya tak ada duit cikgu..” Cikgu Norhasnida jadi sebak, ingat kisah seorang ayah dan duit RM50