Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memantau perkembangan kesihatan para pelajar termasuk guru-guru dan pengawal keselamatan di semua sekolah setiap hari.

Mohd Shafie berkata Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christian Rundi telah dimaklumkan bahawa laporan penuh mengenai perkembangan kesihatan di semua sekolah yang beroperasi ketika ini perlu dihantar kepadanya dari semasa ke semasa.

Beliau berkata ia penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah sentiasa terjamin dan bebas daripada jangkitan wabak COVID-19.

"Saya ingin mengetahui laporan itu supaya memastikan jangan ada dalam kalangan mereka dijangkiti wabak ini (COVID-19) kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk membuka (semula) sesi persekolahan," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Safar Untong, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking dan Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin.

Pembukaan semula sekolah di Sabah melibatkan 236 sekolah iaitu 221 sekolah menengah kerajaan dan selebihnya sekolah menengah swasta, membabitkan 16,703 guru memulakan tugas di sekolah masing-masing dengan 45,065 pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri membekalkan hampir 750,000 keping pelitup muka kepada semua sekolah terbabit, selain turut mengedarkan 60,000 botol cecair basmi kuman untuk kegunaan sekolah.

Menyedari keperluan pelitup muka, Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah menempah 10 juta keping pelitup muka dari China dan tempahan itu dijangka tiba di negeri itu dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, Mohd Shafie turut mengadakan lawatan ke SMK Agama Kota Kinabalu bagi meninjau pembukaan sesi persekolahan pasca Perintah Kawalan Pergerakan di sekolah berkenaan. - BERNAMA

Artikel menarik:

Tiga guru hebat yang jadi sebutan ramai tahun ini. Jom kenal dengan lebih dekat

Kenali 15 guru hebat dan handal, ikuti perkongsian Cikgu Fadhli Salleh tentang mereka

'Saya takkan lupa tanggal 17 Mac!’- Pengetua kongsi pengalaman, disahkan hidap kanser dan Covid-19