KOTA KINABALU - Sebanyak 52 peratus pelajar di Sabah tidak mempunyai akses internet dan telefon pintar, komputer atau peranti mudah alih lain untuk memastikan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian berjalan lancar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang memasuki fasa keempat sejak dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Pengarah Pendidikan, Sabah, Dr Mistirine Radin berkata ketiadaan kemudahan itu terutama dalam kalangan pelajar di luar bandar dan pedalaman negeri ini, menjadikan pelaksanaan sesi PdPc dalam talian begitu mencabar buat guru.

Bercakap kepada Bernama, Mistirine berkata daripada data dikumpul, kira-kira 98 peratus guru Sabah bersedia melaksanakan PdPc dalam talian memandangkan masing-masing mempunyai kemudahan WiFi, data internet dan gajet diperlukan selain berkemahiran mengendalikan sesi berkenaan kerana ia biasanya dijalankan di makmal komputer sekolah.

"Walau bagaimanapun, cabaran mengendalikan sesi PdPc dalam talian wujud ketika PKP dilaksanakan kerana pelajar terpisah dengan kemudahan itu memandangkan mereka perlu menyertai sesi pembelajaran di rumah. Ada pelajar tiada akses internet selain faktor pemilikan gajet yang rendah,” katanya.

Pada awal pelaksanaan PKP, Mistirine berkata, jabatannya menerima beberapa aduan termasuk terdapat adik beradik berkongsi telefon pintar ibu bapa mereka semata-mata untuk mengikuti sesi pembelajaran dalam talian, selain perlu mengambil masa untuk menyiapkan tugasan diberikan guru.

Menurutnya, PdPc dalam talian berjalan lancar bagi guru dan pelajar yang mempunyai kemudahan internet serta peralatan menyokong sesi tersebut, dengan WhatsApp, Telegram dan Google Classrom merupakan antara aplikasi paling tinggi digunakan dalam tempoh PKP ini.

"Kami akan memastikan tiada seorang pun pelajar tertinggal atau tercicir daripada mengikuti sesi pembelajaran,” katanya.

Menurut beliau, mesyuarat melalui persidangan video diadakan bersama guru besar, pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membincangkan alternatif terbaik mengatasi cabaran itu.

"Antara langkah pertama diambil guru termasuk menghantar bahan pembelajaran seperti buku teks, buku kerja dan lembaran kerja ke rumah pelajar atau ke pusat transit seperti rumah ketua kampung supaya pelajar yang tidak memiliki kemudahan internet dan gajet tetap dapat mengikuti pembelajaran," katanya.

Mistirine berkata penghantaran bahan pembelajaran itu antara lain mendapat kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, selain PPD turut memohon surat kebenaran daripada pegawai daerah dan pihak berkuasa bagi memudahkan urusan penghantaran.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengambil inisiatif tambahan dengan menguatkuasakan pembelajaran berasaskan projek (PBP) yang dilihat lebih sistematik serta praktikal, sekali gus sebagai usaha untuk mengurangkan kekerapan pergerakan guru dalam tempoh PKP.

Mistirine berkata jabatannya telah memberikan garis panduan dan contoh pelaksanaan PBP kepada semua guru Sabah dan kaedah ini boleh diikuti dengan tiga cara iaitu dalam talian, luar talian atau campuran (dalam dan luar talian).

PBP memberi tempoh masa lebih panjang kepada pelajar untuk menyiapkan tugasan, dan JPN Sabah optimis kaedah ini akan dapat mengatasi kekangan dihadapi pelajar terutama mereka yang tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Kaedah ini juga secara tidak langsung menjadi platform menyokong pembelajaran abad ke-21 yang berupaya membentuk perkembangan positif pelajar menerusi pemikiran kritis kerana setiap mereka dikehendaki menyiapkan tugasan mengikut kreativiti sendiri dengan bimbingan guru yang minimum.

"PBP dirangka sebagai satu daripada strategi menjejaki 52 peratus pelajar yang tiada internet dan tidak memiliki gajet untuk menyertai sesi pembelajaran supaya mereka ini mendapat ilmu pengetahuan dan pendidikan sama rata dengan pelajar mempunyai kemudahan tersebut.

"Selain ia juga sebagai persediaan jika keadaan sama berlaku (sesi persekolahan ditutup sementara waktu) pada masa hadapan. Selepas ini, guru Sabah ada pilihan dalam mengendalikan sesi pembelajaran untuk pelajar mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mistirine melihat pentingnya untuk setiap kawasan di negeri ini mempunyai jaringan internet percuma yang pantas, selain pelajar terutama daripada keluarga kurang berkemampuan perlu dilengkapi gajet bersesuaian bagi sesi pembelajaran dalam talian.

Sebanyak 70 peratus sekolah di Sabah terletak di luar bandar dan pedalaman, manakala selebihnya di kawasan bandar.

"Akses Internet efisien dan gajet adalah perantara atau bahan menyokong kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian kerana kedua-duanya mampu mewujudkan komunikasi dua hala lebih berkesan antara guru dan pelajar.

"Jika ini tidak ada maka, pembelajaran secara bersemuka masih penting bagi memastikan mesej pembelajaran disampaikan guru difahami para pelajar,” katanya.

Selain itu, beliau berpendapat kemudahan teknologi amat penting seiring kepesatan Revolusi Industri 4.0 yang turut mempengaruhi perkembangan bidang pendidikan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Terpaksa panjat bukit, naik bot enam jam untuk dapatkan kerja sekolah

Pertandingan dalam talian cungkil kreativiti dalam pembelajaran, kokurikulum

16 jawapan KPM mengenai pembukaan semula sekolah, persoalan berkaitan guru, pentadbir sepanjang PKPB

Musim PKP: Gigih Cikgu Nazmi jelajah 13 kampung, hantar kerja sekolah murid

Di mana ada cabaran, di situlah ruang untuk membina perubahan