UNIK sekali.

Itulah gambaran awal yang diberikan terhadap pengumuman nama baharu bagi kelas Prasekolah dan kelas Perdana Sekolah Kebangsaan (SK) Lohan sesi persekolahan 2020.

Guru Besar, Asmail Gakau berkata, ada sebab tertentu nama kelas sebegitu diwujudkan.

"Dengan memperkenalkan nama-nama kelas yang berunsurkan dan beridentitikan ciri-ciri tempatan, sekurang-kurangnya generasi baharu kini boleh mempelajari dan mendalami bahasa tempatan yang menjadi tradisi sejak turun temurun."

Demikian kata Asmail seperti yang dipetik menerusi salah satu post yang dimuat naik di Facebook SK Lohan Ranau. 

**********

SK Lohan mengorak selangkah ke hadapan apabila memperkenalkan nama kelas beridentitikan Bahasa Kadazan Dusun bagi kelas Prasekolah dan kelas Perdana berkuatkuasa Januari 2020 akan datang.

Majlis Pelancaran Nama Kelas untuk sesi persekolahan 2020 disempurnakan oleh Cik Foo Lee Yen, memangku tugas Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau sempena Majlis Apresiasi Pelajar SK Lohan yang diadakan di Dewan Sri Kudingking, baru-baru ini.

Bagi Prasekolah, dua nama dipilih iaitu Lampagak dan Tondurupis, merujuk kepada istilah Bahasa Kadazan Dusun bagi kategori tumbuhan herba jenis sayuran yang tumbuh liar yang renek di kawasan hutan.

Manakala, bagi kelas Perdana yang terdiri dari Murid Tahun Satu hingga Enam pula terdiri daripada istilah Bahasa Kadazan Dusun yang merujuk kepada sahsiah, sikap dan keperibadian yang unggul.

Guru Besar, Asmail Gakau berkata, nama-nama kelas yang dipilih adalah berdasarkan istilah tempatan yang menunjukkan identiti etnik Dusun, yang sarat dengan nilai-nilai murni, selain menggalakkan murid-murid mendalami istilah dan bahasa etnik tempatan yang semakin dipinggirkan.

Bahasa Kadazan Dusun merupakan salah satu mata pelajaran elektif Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

"Dengan memperkenalkan nama-nama kelas yang berunsurkan dan beridentitikan ciri-ciri tempatan, sekurang-kurangnya generasi baharu kini boleh mempelajari dan mendalami bahasa tempatan yang menjadi tradisi sejak turun temurun.

"Kita mengambil maklum mengenai saranan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin bahawa SK Lohan tidak mengamalkan diskriminasi kelas, tiada murid di dalam sesebuah dibezakan mengikut aras. Pembahagian secara adil dan saksama supaya akses pendidikan diberi secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya.

Hadir sama di dalam majlis ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Abg Gharul Annuar Abg Abdul Gani, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Anitah Matni dan Penolong Kanan Ko Kurikulum, Sylvia Abel,

Berikut adalah penjelasan kepada nama-nama kelas Perdana bagi sesi persekolahan 2020.

1) Rumandawi

- Bermaksud individu yang memiliki keistimewaan dalam segala perkara, individu yang berilmu pengetahuan luas, beradab susila dan bersahsiah terpuji.

2) Osundu

- Bermaksud individu yang memiliki kepakaran dalam sesuatu bidang, berkebolehan secara holistik dan berpandangan jauh.

3) Awangkas

- Bermaksud individu yang mempunyai kemahiran yang tinggi, memiliki kompetensi dan kecekapan dan sentiasa berusaha menjayakan sesuatu dengan penuh kesungguhan.

4) Lundu

- Bermaksud individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang dari segi sahsiah, keperibadian, pengetahuan dan mempunyai daya tahan yang kental mendepani segala rintangan serta bersikap progresif dalam sesuatu perkara.

Sumber: Facebook SK Lohan Ranau

Artikel Menarik:

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun depan

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain

'Saya bukan seorang yang cemerlang ketika di bangku sekolah'