SABAH - DUA guru dari Kolej Vokasional Keningau melakar kejayaan bersejarah apabila tersenarai sebagai salah satu daripada lima calon pemenang untuk anugerah '2020 GoAbroad Innovation Award' kategori 'Innovative Program, TEFL/Teach Abroad', baru-baru ini.

Kategori 'Innovative Program, TEFL/Teach Abroad' adalah projek yang memberi peluang pembelajaran kepada peserta serta mendedahkan mereka dengan pemahaman budaya merentas benua.

Cikgu Ernawaty Hudong dan Cikgu Dr Sirhajwan Idek merupakan calon pemenang yang diumumkan penganjur, Go Abroad. Com, di Amerika Syarikat menerusi online 26 Jun lalu.

Mereka telah mempertandingkan projek bertajuk Finders Solvers.

Sebanyak 13 kategori yang dipertandingkan bagi program atau projek pendidikan dari beberapa negara.

Walaupun tidak memenangi kategori yang dipertandingkan, dua guru ini merasa bangga kerana ini merupakan pengiktirafan antarabangsa bagi inovatif mereka.

Finders Solvers

Finders Solvers adalah bengkel kajian dan inovasi yang melatih para peserta mencari punca sebenar sesuatu isu yang ingin diselesaikan agar langkah penyelesaian yang berkesan boleh dirancang dan dikaji.

Pasukan guru ini menggunakan teknik pencarian masalah seperti lima kenapa (five whys) dan teratai kembang (lotus blossom) dan kaedah penjanaan idea seperti teknik SCAMPER (Substitute, Combine, Adapt, Modify, Put Into Other Use, Eliminate & Reverse) dan idea terburuk yang tidak mustahil (Worst Possible Idea).

Tujuan bengkel ini untuk membantu guru-guru melaksanakan penyelidikan atau inovasi dengan terlebih dahulu mengesan isu sebenar yang ingin diselesaikan sebelum merancang langkah selanjutnya.

Terdahulu, kedua-dua guru ini pernah melaksanakan bengkel tersebut di beberapa sekolah dan institut pendidikan guru di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.   

Sementara itu, Cikgu Ernawaty (ketua pasukan) pernah memenangi beberapa anugerah dalam bidang inovasi dan persidangan dalam dan luar negara termasuklah pingat emas di Korea Selatan pada tahun 2019 dengan inovasi 'Al-Cubra' (permainan dadu bagi pembelajaran topik algebra).

Beliau juga pernah memenangi anugerah kajian terbaik di Brunei dengan artikel ilmiahnya yang mengkaji faktor persekitaran pembelajaran Matematik.

Manakala Cikgu Sirhajwan pula merupakan pemenang Anugerah Inovasi Literasi anjuran International Society of Technology in Education (ISTe) pada tahun 2019 di atas projeknya dalam bidang literasi maklumat dan visual.

Hasil kerja guru ini dalam bidang penulisan cerita kaum etnik Sabah untuk pembelajaran Bahasa Inggeris pernah diiktiraf dengan anugerah SEAMEO-Australia Education Award pada 2018.

Seterusnya, kedua-dua guru hebat ini merupakan Penyelaras Unit Kajian dan Inovasi sekolah di mana guru dan pelajarnya berjaya menyertai pelbagai pertandingan inovasi dan persidangan penyelidikan di Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Itali, Perancis, Australia, Jepun, Korea Selatan, Taiwan serta negara-negara Asia Tenggara.

Dalam pada itu, pengetua, Johari @ Jaibet Sabin berkata, guru dan pelajar perlu berganding bahu mengasah bakat dan meneroka pelbagai bidang agar mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing masing.

Artikel menarik:

‘Pernah gagal SPM dan dihina kerana susah,’- Cikgu Mie bangkit dari kegagalan, buat pembaca sebak..

Covid-19 boleh disebar melalui bawaan udara

Sambutan Aidiladha jatuh minggu persekolahan biasa...Cuepacs mohon KPM pertimbangkan semula