Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah hari ini menyumbangkan dua  van untuk pengangkutan anak-anak di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Sapang, Kunak dan MESEJ Balat, Kinabatangan, ke sekolah.

Majlis penyerahan van bernilai RM191,000 itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Jahid Jahim di perkarangan bangunan KPLB Sabah, di sini hari ini.

Simbolik penyerahan replika kunci van berkenaan diterima oleh Pegawai Daerah Kinabatangan, Majaran Osman dan Pegawai Daerah Kunak, Abdul Manap Abd Ruhim.

Jahid dalam kenyataan berkata inisiatif yang diambil dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 70 anak peserta MESEJ terbabit.

"Kita tidak mahu mereka tercicir daripada menimba ilmu disebabkan masalah pengangkutan atau bebanan kewangan bagi membayar tambang bas ke sekolah," katanya.

Jahid berkata Kerajaan Negeri Sabah akan terus menitikberatkan pendidikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di luar bandar dan akan memastikan tiada dalam kalangan mereka tercicir daripada pelajaran.

"Kementerian juga akan terus memelihara kebajikan mereka agar mendapat pendidikan sempurna,” katanya, yang turut menggesa jaringan internet di luar bandar diperluaskan segera bagi membolehkan rakyat di kawasan itu menikmati kemudahan jalur lebar lebih baik setanding dengan kawasan lain. - BERNAMA