KENINGAU - Kebolehan pelajar jurusan pembuatan kek dan pastri dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Audrey Aurora Witer sebagai pelukis komik sekali lagi mendapat penghargaan apabila dipilih sebagai salah seorang pemenang kategori komik Anugerah Rapid Youth Success Entrepreneurship (RYSE) melalui pertandingan Diam² Ubi Berisi, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Audrey Aurora yang mempertaruhkan karya bertajuk “Catarons” membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200, sijil dan cenderamata dari pihak penganjur.

Menceritakan mengenai pembabitan awal dalam bidang lukisan komik, Audrey Aurora berkata, dia mula melukis komik sejak berusia 9 tahun selepas mendapat inspirasi daripada komik keluaran Gempak Starz dan mula mempunyai minat untuk menghasilkan komik sendiri.

"Jika melihat kepada jurusan pengajian saya, mungkin ia agak berlainan dengan minat saya terhadap lukisan komik ini tetapi sebenarnya keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang pastri ini dibuat selepas saya terpengaruh dengan anime Yakitate!! Japan.

"Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal untuk melukis komik tetapi belajar sendiri melalui internet, buku komik dan beberapa buku cara-cara melukis," katanya.

Berkongsi mengenai sokongan yang diterima dalam bidang lukisan komik, Audrey Aurora berkata, bapanya Witer Gunik, yang juga seorang penulis adalah individu yang paling banyak memberi inspirasi dan semangat agar dirinya meneruskan minat dalam dalam bidang berkenaan.

"Selain itu, tenaga pengajar di KV Keningau juga tidak putus-putus memberikan galakan kepada saya serta rakan-rakan untuk menyertai pelbagai pertandingan bagi mengasah bakat dalam bidang lukisan komik ini.

"Saya tidak menyangka akan dipilih sebagai salah seorang daripada pemenang tetapi saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana menghargai bakat yang dimiliki sekali gus memberikan motivasi kepada saya untuk terus membuat yang lebih baik di masa akan datang," katanya.

Karya bertajuk Catarons yang dihasilkan Audrey Aurora mengisahkan pengalaman seorang bekas juruterbang yang kehilangan kerjanya ketika kejatuhan ekonomi yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19.

Bertekad untuk terus mencari sumber pendapatan yang stabil, bekas juruterbang itu berjaya menubuhkan perniagaan menjual makaron yang bertemakan kucing bersama teman rapatnya.

Komik tersebut boleh diakses melalui pautan berikut: https://drive.google.com/file/d/1X3wFxyjCwGJpO4TkW1SlBYVRLyEVUGbC/view?usp=sharing

Selain Audrey Aurora, terdapat lima lagi pelajar KV Keningau yang turut menghantar penyertaan dalam pertandingan Diam² Ubi Berisi, mengikuti kategori masing-masing iaitu penulisan cerpen, penulisan puisi serta penghasilan komik.

Pertandingan Diam² Ubi Berisi yang dianjurkan RYSE itu terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berkongsi cerita mengenai keusahawanan melalui puisi, cerpen dan komik bagi menunjukkan pengalaman dan realiti sebenar yang dihadapi perusahaan kecil di negara ini.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin, menyifatkan kejayaan Audrey Aurora sebagai contoh kepelbagaian bakat dalam kalangan pelajar kolej tersebut.

Beliau menegaskan bahawa KV Keningau yang telah menempa nama di pentas dunia dalam bidang kajian dan inovasi akan terus meneroka bidang baru seperti seni penulisan malah pelajar-pelajar di kolej itu telah mula bergiat aktif dalam penulisan cerpen, puisi, lagu dan esei untuk dipertandingkan, dipersembahkan atau diterbitkan.

Artikel menarik

Tarikh pendaftaran pelajar Tingkatan 1 dan 4 Sekolah Khusus 6 April depan

Guru SK Lukut sanggup berhabis ribuan ringgit beli peralatan ICT untuk sesi PdPc