KOTA KINABALU - Para pengetua dan guru besar di Sabah digesa agar sentiasa meningkatkan pengetahuan dan memahami dasar-dasar kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata sebagai pemimpin sekolah, para pengetua dan guru besar perlu peka terhadap kehendak serta aspirasi kerajaan supaya sekolah dapat melaksanakan program yang sesuai dengan dasar tersebut demi kejayaan dan kecemerlangan pelajar di sekolah masing-masing.

"Sebagai contoh pihak sekolah haruslah menyediakan pelajarnya dengan kemahiran yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0 agar mereka mudah memasuki pasaran kerja di masa hadapan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena Persidangan Pengetua-pengetua Sabah, di sini malam tadi.

Beliau berkata kejayaan sekolah berkenaan terletak pada kualiti kepimpinan ketua organisasi kerana jika pengetua hebat dan mempunyai kepimpinan berkualiti, sudah tentu kepimpinannya dapat dilihat melalui kemenjadian murid-murid dalam bidang akademik, sukan dan sahsiah.

"Sesebuah sekolah memerlukan seorang pengetua yang mampu memberi inspirasi kepada warga sekolah agar dapat menghadapi dan menangani sebarang arus cabaran dalam pendidikan pada masa kini,"  katanya. - Bernama