PAPAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan sebanyak RM15 juta sebagai peruntukan tambahan untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan kecil sekolah kerajaan di seluruh Sabah.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata peruntukan tambahan itu adalah untuk tahun ini bagi memastikan kualiti pendidikan terutamanya peningkatan infrastruktur sekolah di Sabah dapat ditingkatkan.

"Kementerian telah bersetuju untuk menurunkan peruntukan tambahan berkenaan bagi memastikan kualiti pendidikan yang setara antara Putrajaya dan negeri seperti di Sabah dan Sarawak dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Brunei, Mambakut dekat sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof  dan Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin.

Maszlee berkata pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah untuk memperbaiki sekolah daif dan membangunkan bidang pendidikan di Sabah.

"Kami tidak mahu Sabah ketinggalan dalam bidang pendidikan…oleh itu kerajaan sentiasa meningkatkan komitmen untuk memastikan setiap rakyat Malaysia diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata sebanyak RM40,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja kecil infra dan elektrik di SK Kampung Brunei pada tahun ini.

"Selain itu kerajaan telah meluluskan pembinaan blok baharu SK Kampung Brunei yang akan dilaksanakan pada tahun depan. Blok baharu itu itu termasuk pembinaan bangunan gentian enam bilik darjah, blok pentadbiran, bilik sains, tandas dan lain-lain kemudahan berkaitan,” katanya.

Katanya, kementeriannya juga akan mengagihkan bantuan buku daripada Dewan Bahasa dan Pustaka ke semua perpustakaan di sekolah di sekitar kawasan Mambakut. - Bernama

Artikel lain:

Empat sebab Dr Maszlee menangis - Bimbang ada pegawai tak sehaluan dengan aspirasi yang ditonjolkan

'Kepada rakan saya di KPM, jangan gagalkan anak-anak kita' - Maszlee

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

'Tetap serius dan tegas ketika mengajar walaupun berwajah 'baby face' - Cikgu Ian Francis Manga