BEAUFORT - Satu daripada lokasi Etania School iaitu Etania Green School Beaufort, Sabah menarik perhatian warganet apabila dibina dengan reka bentuk yang moden tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri santai dan konsep hijau.

Sekolah yang dibangunkan di bawah pengurusan Persatuan Pendidikan Kanak-Kanak Matakana Sabah itu pernah memenangi beberapa anugerah termasuklah Anugerah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah matlamat Kualiti Pendidikan dan Anugerah Trends Excellence Awards for Architecture & Design.

Berkongsi mengenai Etania Green School Beaufort, Pengasas Bersama, Dr Kathryn Rivai, berkata sekolah itu dibangunkan pada 2015 di atas tanah berkeluasan 7,319 kaki persegi dan mengaplikasikan konsep perkampungan budaya yang ada di Sabah.

"Saya masih ingat kata-kata arkitek, Robert Verrijt yang merekabentuk sekolah ini iaitu 'membina sekolah untuk kanak-kanak miskin, tidak bermaksud sekolah itu juga perlu kelihatan miskin' dan ia membuat saya sangat tersentuh dengan kesungguhan yang ditunjukkan Robert dalam merealisasikan projek pembinaan sekolah ini.

"Sekolah ini menggunakan konsep terbuka kerana saya mahu murid boleh menikmati persekitaran yang hijau, bebas meneroka dan memberikan pembelajaran yang santai kepada mereka," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

'Membina sekolah untuk kanak-kanak miskin, tidak bermaksud sekolah itu juga perlu kelihatan miskin' - Robert Verrijt

Memandangkan lokasi sekolah berkenaan terletak di kawasan yang pernah dilanda banjir,  kontena digunakan sebagai asas binaan di tingkat bawah supaya bilik darjah terletak di tingkat atas, manakala kontena berkenaan pula digunakan untuk tujuan penyimpanan barang dan dijadikan sebagai tandas.

"Etania Green School Beaufort ini mempunyai kira-kira 150 murid yang kebanyakannya adalah anak-anak pendatang asing tanpa izin dari Indonesia dan disebabkan itu juga, kita menggunakan kurikulum pendidikan berdasarkan sistem pendidikan di Indonesia.

"Selain itu, pihak sekolah juga merancang kurikulum khusus, berbeza mengikuti lokasi sekolah kerana perlu memenuhi keperluan murid-murid yang berbeza-beza mengikut keperluan lokasi kehidupan mereka," katanya.

Etania Green School Beaufort beri peluang kepada murid meneroka sesi pembelajaran secara bebas dan santai.

Terdapat 11 lokasi Etania School di Sabah termasuklah di Beluran, Telupid, Kalabakan, Keningau, Tenom, Papar dan Kota Kinabalu membabitkan jumlah murid berusia antara lima hingga 18 tahun, seramai 1,000 orang.

Etania School dibangunkan pada 2009 bagi memberi peluang pendidikan yang sama rata kepada kanak-kanak dari Sabah, Indonesia dan Filipina yang terpinggir dan tidak mempunyai dokumen yang sah untuk membolehkan mereka mendapatkan pendidikan formal di sekolah.

Selain menyediakan kurikulum akademik, Etania School juga menyediakan pembelajaran merangkumi aspek kemahiran untuk membolehkan murid-murid mendapat pekerjaan suatu hari nanti.

Kemahiran itu merangkumi literasi komputer, pertanian, menjahit, pengurusan kewangan, pengurusan rumah dan keluarga, kemahiran memasak, komunikasi dan kemahiran literasi.

Artikel menarik

‘Ayah bawa lori, ustazah. Mak pula dah tak ada’ – Luahan murid Tahun 6 ini buat ramai sebak!

17 adab yang perlu guru-guru amalkan, ikuti perkongsian Dr Mohd Hasrul