KENINGAU - Dua orang pelajar jurusan seni kulinari dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, tidak menyangka hasil penulisan mereka akan diterbitkan dalam majalah sastera yang berpangkal di Britain.

Adra Cheery Sumping, 19, dan Fredo Foo Sau Yi, 17, meluahkan rasa gembira apabila menerima e-mel menyatakan bahawa cerpen serta puisi hasil penulisan mereka akan diterbitkan dalam majalah sastera itu.

Majalah tersebut diterbitkan oleh The Margate Bookie iaitu sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan pelbagai festival, bengkel dan penerbitan berkenaan dengan sastera dan seni penulisan.

Hasil karya kedua-dua pelajar itu akan diterbitkan dalam edisi bulan Mei yang mengetengahkan tema “reset” (penetapan semula), merujuk kepada konsep memulakan kehidupan baru dengan lebih baik setelah menghadapi pelbagai krisis yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19.

KV Keningau berjaya meraih pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Puisi bertajuk “Turn the Tide” yang dihasilkan Adra Cheery menceritakan mengenai kesukaran hidup berikutan kelumpuhan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan menggesa para pembaca untuk meneroka sumber pendapatan yang baru.

Fredo Foo pula menulis cerpen berjudul “Struggle” yang mengisahkan seorang pelayan restoran yang kehilangan kerja namun gigih mencari peluang kerjaya baru dengan menggunakan kemahiran memasaknya.  

Dengan bimbingan guru mereka, kedua-dua pelajar itu telah menghantar hasil karya mereka ke majalah tersebut memandangkan ia bersesuaian dengan tema bagi edisi bulan Mei.

Selain dari karya penulisan mereka yang mewakili Malaysia, terdapat juga karya seni yang yang dihasilkan oleh penulis dan pelukis dari negara Amerika Syarikat, Jerman, Australia dan India yang akan turut diterbitkan dalam koleksi terbitan majalah itu.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Bin Sabin, menyatakan rasa bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar berkenaan.

Beliau berkata, KV Keningau berhasrat untuk mengasah bakat para pendidik dan pelajarnya dalam bidang seni penulisan kerana ia mampu memupuk nilai-nilai murni serta pemikiran kreatif.

KV Keningau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan TVET 2019.

TRIVIA KV Keningau

- KV Keningau, Sabah pernah mengungguli Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Teknik dan Vokasional (ACeTVET 2019) apabila berjaya merangkul lima anugerah daripada 16 kategori yang dipertandingkan, sekali gus diangkat menerima Anugerah Kecemerlangan TVET 2019.

- Kategori lain yang turut dimenangi oleh KV Keningau ialah Anugerah ACeTVET 2019 Kategori Platinum, Anugerah Ikon Guru, dua Anugerah Inovasi (Individu), Anugerah Inovasi (Institusi) dan Anugerah Amalan Pengurusan Kewangan.

- Antara program pengajian yang ditawarkan di KV Keningau ialah Diploma Kosmetologi dan Diploma Seni Kulinari

Artikel menarik

10 perkara perlu diambil kira di asrama penuh, Cikgu Adham kongsi ini

‘Ayah bawa lori, ustazah. Mak pula dah tak ada’ – Luahan murid Tahun 6 ini buat ramai sebak!