Coretan kali ini mengisahkan tentang seorang jejaka kelahiran Beluran, Sabah, Riuh Mendoring atau lebih mesra dipanggil Riuh.

Anak ke-7 daripada 9 adik-beradik ini menetap di sebuah perkampungan terpencil iaitu Abuan Sugut, Beluran, Sabah.

Bagai sirih pulang ke gagang, peribahasa itu adalah gambaran tepat setelah bergraduasi pada tahun 2018 dalam opsyen Pendidikan Sejarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Riuh kembali ke daerah kelahirannya untuk bersama keluarga.

Dia kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah yang berdekatan dengan kediamannya.

“Saya tamat belajar pada tahun 2018. Saya pulang ke kampung sebab mahu bersama keluarga setelah lama merantau di negeri orang. Saya ada cuba juga cari kerja di banyak tempat tapi tiada rezeki.

"Pada tahun 2019, saya cuba mohon kerja untuk jadi pegawai keselamatan di sebuah sekolah berdekatan dengan kampung saya. Sedar tidak sedar, sudah masuk tahun ketiga saya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Penulis sempat bertanya apakah cabaran yang dihadapi sepanjang bekerja sebagai pengawal keselamatan memandangkan dia merupakan lulusan Sarjana Muda Pendidikan.

Lantas, Riuh berkongsi beberapa pertanyaan yang pernah diajukan kepadanya.

“Belajar tinggi-tinggi tapi jadi pengawal keselamatan. Bagus inda payah belajar”

“Bila mahu mengajar? Sampai bila mahu kerja begini?

“Sijil kau inda setaraf dengan gaji pekerjaan kau sekarang,” sahutnya dengan nada perlahan.

“Terkadang saya bertanya dalam hati, hina sangatkah pekerjaan saya sebagai pengawai keselamatan di sekolah? Satu, dua kali, boleh lagi saya tadah telinga. Tapi kalau berkali-kali saya dengar orang cakap belakang (mengumpat), saya pun pandai sedih dan kecewa juga.

“Saya bukannya mencuri, merompak atau buat jenayah. Saya tetap juga berbakti untuk masyarakat sekeliling biar pun belum ada rezeki untuk menjadi cikgu setelah 3 tahun penantian.

"Saya major Pendidikan Sejarah. Kalau tiada kekosongan guru Sejarah di sekolah, kenapa tidak diambil kira minor saya iaitu Bahasa Kadazandusun? Banyak saja saya nampak kekosongan untuk subjek ini di sekolah,” ujarnya dengan hiba.

Pada era di hujung jari, hangat diperdebatkan berkenaan graduan memilih kerja di media-media massa. Sehingga suatu ketika, graduan pendidikan dipukul rata sebagai terlalu memilih pekerjaan. Bagi Riuh, realitinya tidak sedemikian rupa.

“Hangat diperkatakan, graduan pendidikan memilih pekerjaan baik di media sosial mahupun media cetak. Sejauh mana kebenarannya, tiada siapa yang tahu.

"Persoalannya, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) memilih kerja, atau pihak industri yang menolak kami disebabkan frasa ‘pendidikan’ yang terpampang pada skrol degree kami? Mereka beranggapan kami hanya bekerja untuk jangka masa pendek, dan akan ditempatkan di sekolah sebagai guru tetap,” tegasnya lagi.

Menurut Riuh, semasa ‘bertarung’ dalam mendapatkan pekerjaan suatu ketika dahulu, sudah banyak tempat yang telah dilamarnya tetapi ditolak mentah-mentah disebabkan frasa ‘Pendidikan’ yang terpahat di skrol kelayakannya itu.

“Saya sudah jelaskan yang ijazah saya ini bersifat 'open market' dan tidak terikat dengan apa-apa kontrak, baik dengan kementerian mahupun agensi kerajaan. Tapi mereka (pihak syarikat) tidak mahu dengar. Saya kena cop lagi (dianggap) penipu. Beginilah realitinya kami (graduan ISMP UA) dalam mencari pekerjaan di luar bidang,” ujarnya dengan tenang.

Ditanya sama ada Riuh pernah membuat permohonan guru interim sebelum ini atau sebaliknya, beliau pernah membuat permohonan guru interim pada tahun 2019 untuk sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan tapi tidak berjaya.

"Antara sebab utama adalah pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah waktu itu beranggapan bahawa opsyen saya (ISMP Sejarah) mudah (ada keutamaan) untuk mendapatkan jawatan sebagai guru tetap melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) tetapi hakikat sebenar adalah sebaliknya. Waktu itu memang banyak kekosongan untuk opsyen Sejarah tapi kami (graduan ISMP UA) tidak diutamakan.

“Kami ini dilatih untuk menjadi seorang guru. Selain opsyen sendiri, saya juga boleh ajar subjek di luar opsyen sebab saya percaya di sekolah nanti pun kami akan tertakluk dengan arahan pihak sekolah juga. Apa subjek yang disuruh ajar, kami akan patuh saja,” ujarnya.

Segan bergalah, hanyut serantau. Demi kelangsungan hidup, Riuh sedar bahawa dia perlu bekerja keras untuk menyara diri dan keluarga, di samping perlu membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mengakhiri perbualan, Riuh berharap agar nasib akan berpihak kepadanya, dipanggil untuk temu duga guru dan penempatan dalam masa terdekat.

Artikel menarik

Tercalon dalam Rise Educator Award 2021, Cikgu Nazmi terharu dengan pengorbanan ibu bapa muridnya

Karya 'Linangkit' pelajar KV Keningau tersiar dalam majalah United Kingdom. Tahniah Anzenikha!