PONTIAN - Kegembiraan jelas terpancar di wajah 210 murid Sekolah Kebangsaan ( SK) Serkat di sini apabila mereka menerima sarapan percuma daripada Malakoff Corporation Berhad.

Mereka merupakan sebahagian daripada 982 murid dari tujuh SK di Mukim Serkat yang menerima sarapan percuma menerusi program Jom Sarap Malakoff 2018 yang julung kali diadakan pada tahun ini.

Tujuh sekolah itu ialah SK Sungai Durian, SK Serkat, SK Andek Mori, SK Permas Kelapa, SK Seri Sinaran Chokoh, SK Sungai Boh dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Chio.

Pada majlis ringkas di SK Serkat yang turut dihadiri Adun Kukup, Suhaimi Salleh, murid-murid dari tahun satu hingga tahun enam berselera menikmati sarapan pagi yang disediakan.

Ketua Hal Ehwal Korporat, Malakoff Corporation Berhad, Yusop Rashid berkata, inisiatif  memperkenalkan program Jom Sarap diharap  dapat beri manfaat kepada anak Mukim Serkat bagi meningkatkan lagi potensi di sekolah.

Katanya, Program Jom Sarap ini membolehkan Malakoff mengorak langkah bersama-sama kerajaan untuk merealisasikan anjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

“Melalui program ini, Malakoff akan menaja sarapan murid sehingga tamat persekolahan tahun ini.

“Murid-murid diharap dapat datang awal ke sekolah dan bersedia memulakan aktiviti pembelajaran dengan sihat dan cerdas,” katanya.

Sementara itu, murid, Nurul Aleeya Nastasha Abdullah, 10, berkata, dia gembira kerana dapat menikmati sarapan pagi percuma bersama rakan-rakan.

Katanya, sarapan pagi sangat penting supaya lebih bertenaga di dalam kelas dan dapat belajar bersungguh-sungguh.

Bagi Guru Besar, SK Andek Mori, Mohd Noor Zainudin Joohir mengakui pemberian sarapan percuma membantu murid terutama bagi yang akan hadapi UPSR tahun ini.

“180 murid SK Andek Mori dapat sarapan percuma. Usaha dilakukan Malakoff sangat baik untuk membantu SK di luar bandar meningkatkan prestasi murid,” katanya.