KUCHING - Sebanyak 15 sekolah di beberapa daerah di Sarawak ditutup semalam akibat banjir, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, sebaik sahaja banjir surut, kerosakan yang dialami sekolah terbabit akan dinilai dan kerja membaiki kerosakan itu akan dilakukan dengan kadar segera.

Mahdzir berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) St David Bumbok, kira-kira 17km dari bandaraya Kuching, semalam.

Daerah Kuching, Serian, Samarahan dan Bau dilanda banjir yang menyebabkan sejumlah 7,965 daripada 2,051 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat jam 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, Mahdzir berkata, 100 sekolah di seluruh Sarawak yang masih menggunakan set generator akan disambung ke grid Sarawak Energy (SEB) bagi mendapatkan bekalan elektrik 24 jam.

Mengenai perjumpaan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem semalam, beliau berkata, beberapa perkara berkaitan soal pendidikan dibincangkan termasuk bahasa Inggeris di sekolah. - Bernama