Sebanyak 75 sekolah di Kuching dan Samarahan, Sarawak akan dilengkapi akses mudah alih 4G pada penghujung tahun ini dalam perancangan pelaksanaan 1BestariNet Fasa 2, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Kamalanathan berkata proses itu akan dilaksanakan setelah insfrastruktur Sistem Penerima Bersepadu 1Bestari(1BRIS) siap dibina di 40 buah sekolah dan satu di Bahagian Teknologi Pendidikan Negerai (BPTN) Sarawak.

"Bagi sekolah-sekolah di luar bandar termasuk di Sarawak yang masih menggunakan sistem talian pelanggan digital asimetrik (ADSL) dan 'Very Small Aperture Terminal' (VSAT), KPM secara berkala membuat pemetaan bagi mengenal pasti sekolah-sekolah yang berpotensi dinaik taraf kepada teknologi 4G," katanya ketika menjawab soalan Datuk Aaron Ago anak Dagang (BN-Kanowit) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Kamalanthan berkata secara keseluruhan sebanyak 726 sekolah daripada 1,452 sekolah di seluruh negeri Sarawak telah menggunakan rangkaian sistem BestariNet menggunakan ADSL dan VSAT. - Bernama