KUCHING - Persatuan Sahabat Guru Malaysia (SGM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Pinang, Samarahan, Sarawak berjaya menganjurkan bengkel eRPH dan 'digital classroom' di makmal komputer, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Stutong, di sini 6 Disember lalu.

Peserta bengkel tekun mendengar ilmu disampaikan Ustaz Dr Syed Abi Ghufran dan Ustaz Mawaridi.

Bengkel yang berlangsung selama sehari itu dikendalikan dua moderator yang juga ahli SGM dari Terengganu dan Perak iaitu Ustaz Dr Syed Abi Ghufran al-Idrus Syed Ahmad dan Ustaz Mawaridi Abdullah.

Setiausaha SGM, Mamat Solleh Ismail berkata,  Ustaz Dr Syed Abi Ghufran al-Idrus merupakan Guru Bahasa Inggeris di SK Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu dan beliau merupakan Ketua Pembina eRPH manakala Ustaz Mawaridi pula Penolong Kanan Kokurikulum SK Ulu Bernam, Bagan Datuk, Perak.

"Ustaz Mawaridi juga salah seorang jurulatih ithink dan Frog Vle Negeri Perak serta berkemahiran dalam aspek digital classsrom," katanya.

Bengkel yang julung kali diadakan oleh SGM itu mendapat perhatian seramai 65 peserta yang terdiri guru sekitar Kuching, Samarahan, Sebuyau, Asajaya dan Gedong.

Menurut Mamat, selain guru, Pengerusi Majlis Guru Besar (MGB) Sarawak, MGB Kuching, MGB Padawan, MGB Samarahan dan wakil-wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan & PPD Samarahan, Sarawak turut hadir bengkel berkenaan.

"Turut serta, dua pengetua dari Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak, iaitu Dr Noraisah Suhaili (Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Kuching Utara) dan Norlela Bujang (Pengetua SMKA Sheikh HJ Othman Abdul Wahab)," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Bulan Jeragam, Sebuyau, Cikgu Mohamad Rizuan Sarbini berkata, eRPH adalah inovasi sistem yang menyokong Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang Kedua (SKPMg2) yang membolehkan peranan guru lebih efektif dan boleh dikemukakan terus kepada mana-mana pihak berkaitan pendidikan secara online ataupun offline," katanya.

Bagi Guru Besar SK Pinang, Samarahan, Cikgu Anai Johari, bengkel eRPH dan digital classroom itu amat bertepatan sekali seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

"Kewujudan media elektronik dengan pelbagai bentuk dan rupa menuntut guru menguasai dan mahir dalam menggunakannya.

"Dalam hal ini kita jangan tunggu arahan pihak atasan untuk bergerak. Perkembangan teknologi yang begitu pantas sekiranya kita tidak bergerak seiring, maka kita akan

ketinggalan," katanya.

Penyerahan watikah pelantikan ahli SGM kepada Cikgu Mohamad Rizuan (kiri) oleh AJK Tertinggi SGM, Ustaz Mawaridi.

Menurut beliau, penyediaan eRPH secara online menjimatkan masa, tenaga dan wang manakala dalam aktiviti PDPc pula, kesesuaian medium untuk PDPc menjadinya lebih berkesan dan menimbulkan rasa seronok murid untuk belajar.

Dalam perkembangan berasingan, SGM telah menyampaikan watikah pelantikan ahli dan wakil SGM Negeri Sarawak kepada dua guru iaitu Cikgu Mohamad Rizuan dan Cikgu Anai.

Penyerahan cenderamata kepada Ustaz Dr Syed Abi Ghufran (kiri) oleh YDP MGB Sarawak, Cikgu Abang Sapali Abg Sepawi.