KUCHING - Mohd Fadhil Ismail, 31, guru sekolah rendah di Song, sebuah kawasan di pedalaman Sarawak memenangi hadiah utama sebuah kereta Proton Iriz dalam peraduan cabutan bertuah "Cruise & Win"  anjuran Melaka River Cruise  (MRC) dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Berasal dari Kabong, sebuah penempatan pesisiran di negeri ini, Mohd Fadhil berkata beliau menyertai peraduan cabutan bertuah itu ketika mewakili Sarawak dalam satu acara sukan dan kebudayaan pendidikan di Melaka ketika cuti sekolah 16 Dis tahun lepas.

"Saya bersama enam rakan lain menaiki MRC dan mendapat sebanyak tiga borang peraduan  itu. Saya mengisi dua borang terbabit manakala pengurus pasukan kami mengisi satu borang," katanya semasa menceritakan bagaimana menyertai cabutan bertuah berkenaan.

Menurutnya pada 26 Disember lepas beliau terbabit dalam satu kemalangan di Sibu yang mengakibatkan kereta yang dipandunya, Perodua Axia, mengalami kerosakan teruk dan terpaksa dibaiki di bengkel dan hanya siap bulan lepas.

"Saya tidak menyangka musibah yang saya hadapi menjadi satu petanda yang baik apabila pada malam selepas saya mengambil balik kereta yang sudah siap dibaiki, pihak MRC telah menelefon untuk memaklumkan saya telah memenangi hadiah utama peraduan itu,” katanya.

Mohd Fadhil berkata Proton Iriz yang dimenanginya itu terpaksa ditinggalkan di rumah seorang rakannya di Sibu memandangkan jalan untuk ke sekolah tempatnya mengajar masih belum siap dan beliau menggunakan perahu panjang untuk sampai ke tempat kerjanya itu.  

Beliau menerima hadiah itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif MRC Azlan Abidin pada satu majlis di sebuah pusat membeli belah di sini.

Dalam majlis itu, Azlan turut menyampaikan satu hadiah misteri peraduan itu berupa satu set barang kemas kepada  seorang lagi anak Sarawak iaitu Paulus Pengarah dari Sibu.

Beliau berkata peraduan terbabit diteruskan bermula Januari lepas dengan menawarkan hadiah utama sebuah kereta Perodua Alza berharga RM62,000 selain sebuah motosikal  dan lapan hadiah misteri.

"Hadiah ini juga kita berikan kepada warga tempatan sahaja dan bukan kepada warga asing untuk menghargai mereka mengunakan MRC," katanya sambil menambah pengunjung yang membeli tiket bernilai RM200 dan ke atas layak menyertai peraduan itu yang tarikh tutupnya 31 Disember ini. - Bernama

Artikel Menarik:

'Kerana sering gatal kepala, Cikgu Aisham nekad kutip kutu murid. Buang tepi jijik, kotor, geli'

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih