LAWAS - Seorang guru wanita yang baharu selesai menjalankan tugas sebagai pengawas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Trusan pukul 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa Arrzahara Affendi, 20, duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh rakannya seorang guru lelaki berusia 24 tahun.

“Kemalangan berlaku apabila kereta yang datang dari arah SJK Chung Hua Trusan ke Wisma Persekutuan Lawas terbabas dipercayai dipandu laju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini semalam.

Menurutnya mangsa meninggal dunia pada pukul 2.20 petang di Hospital Lawas setelah cedera parah akibat kemalangan itu manakala pemandu kereta Myvi hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu menyebabkan kereta Perodua Myvi hangus terbakar dan kebakaran dapat dipadamkan pada pukul 12.43 tengah hari. - Bernama