MIRI - Seorang guru wanita sebuah sekolah rendah di Limbang menjadi korban pertama banjir di Sarawak dalam kejadian yang berlaku di Kampung Bakol, Jalan Batu Danau Limbang awal pagi ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Limbang Edmund D. Mahai Amboh berkata mangsa yang terkorban dikenali sebagai Norsiah Yusok, 52, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tedungan, Limbang manakala suaminya Buruh Sinjan , 54, terselamat ketika mereka dirempuh air deras pada pukul 2.50 pagi.

Edmund berkata ketika kejadian, mangsa bersama suami sedang dalam perjalanan dari Tedungan ke pekan Limbang dan kereta mereka terkandas dalam banjir kilat menyebabkan ia dibawa arus deras.

"Setiba bomba di tempat kejadian mendapati kereta Proton Persona yang dipandu suami mangsa telah dihanyutkan oleh air yang deras, suami mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa gagal akibat rempuhan arus," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mayat wanita itu ditemui kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, hujan lebat dari pagi semalam  hingga tengah malam tadi menyebabkan tujuh kawasan di Limbang dilanda banjir kilat iaitu Kampung Tegarai, Kampung Tabahan, Kampung Pundut, Kamput Berawan, Kampung Sungai Poyan, Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai dan Kampung Sembiling.

Sementara itu di bandar raya Miri, Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata hujan lebat bermula pukul 10 malam tadi menyebabkan beberapa buah kampung dilanda banjir kilat iaitu Kampung Wireless, Kampung Batu 1 dan Kampung Pujut 4.

Poh Kiong berkata, keadaan hujan lebat luar biasa dan air pasang menyebabkan nelayan dari Kampung Batu 1 Kuala Baram terpaksa meletakkan perahu mereka di tepi jalan untuk mengelakkan dihanyut ombak besar. - Bernama