KUCHING - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat kali pertama menggunakan sistem LPskor sepenuhnya dalam pemeriksaan Skrip Jawapan Peperiksaan (SJP) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sebagai norma baharu dalam menghadapi pandemik Covid-19, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon.

LPSkor merupakan proses penskoran atau pemeriksaan SJP yang dilaksanakan secara digital dalam talian serta atas skrin pada peranti elektronik.

Beliau berkata, LPSkor bagi SPM 2020 melibatkan 96 kertas peperiksaan bagi  5,180,871 unit skrip jawapan peperiksaan dan melibatkan 23,885 orang pemeriksa.

"LPSkor ini dapat mempercepatkan proses pemeriksaan SJP dan pengeluaran keputusan peperiksaan dengan mengekalkan prinsip adil, sahih dan amanah.

Tempoh pemeriksaan yang disingkatkan membolehkan keputusan dikeluarkan mengikut masa yang ditetapkan dan tidak akan menjejaskan peluang kemasukan calon atau pelajar ke institusi pengajian awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain pada tahun 2021 ataupun untuk kemasukan ke alam pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Pengurusan SPM 2020 di Sekolah Menengah  Kebangsaan  Bandar Samariang di sini.

Dr Mah berkata, antara kelebihan pelaksanaan LPSkor itu ialah pemeriksaan boleh dibuat di mana sahaja tanpa mengira masa serta mematuhi  Standard Operasi Pengurusan (SOP) yang tidak menggalakkan aktiviti mesyuarat secara bersemuka dan kekangan pergerakan yang memerlukan merentas sempadan daerah atau negeri.

Selain itu, katanya tiada risiko kehilangan atau kemusnahan, SJP juga mempunyai kerahsiaan yang tinggi iaitu tiada sebarang pengenalan diri calon sama ada nombor kad pengenalan diri atau angka giliran calon dipaparkan kepada pemeriksa.

"Penjumlahan skor juga berlaku secara automatik bagi mengelakkan kesilapan manusia dan menghapuskan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan skor,” katanya.

SPM 2020 yang dilaksanakan mulai 22 Februari sehingga semalam melibatkan 401,105 calon bagi 83 kertas peperiksaan di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara - BERNAMA

Artikel menarik

Kebaikan LMS dalam pengajaran dan pembelajaran guru

Selain mesin pencetak, pisang dan jagung turut dihadiahkan untuk guru sebagai tanda penghargaan