Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pelugau sebuah sekolah yang terletak di sebuah daerah kecil Selangau, Sarawak telah mengadakan Minggu Matematik peringkat sekolah kali yang ke-3 pada Oktober lalu.

Minggu Matematik pada tahun ini dilaksanakan sepenuhnya oleh guru dan staf sokongan sekolah dengan kerjasama Pegawai SISC+ Matematik Daerah Selangau, Mohd Faizal Semion.

Menariknya, murid sangat teruja dengan aktiviti yang dijalankan sepanjang berlangsungnya Minggu Matematik itu.

Menurut seorang guru, Edwin Angian, aktiviti seumpama itu berupaya membuatkan murid menerokai sendiri aktiviti yang dijalankan selaras dengan pelaksanaan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dilaksanakan di dalam bilik darjah.


"Malah, murid-murid juga akan bersaing sesama mereka secara positif dan kompetitif.

"Pelaksanaan Minggu Matematik pada tahun ini diharapkan berupaya menanam semangat dan motivasi yang tinggi kepada murid-murid di SK Kuala Pelugau khususnya dalam subjek matematik serta berupaya menghasilkan modal insan yang mampu berfikir di luar pemikiran buku teks semata-mata.

"Semoga aktiviti seumpama ini akan menjadi titik permulaan kepada murid-murid dalam memulakan langkah pertama mencintai Matematik dan mempraktikkan dalam dunia kehidupan sebenar," katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah kuiz matematik, pameran matematik, teknik Menjawab Kertas II, Permainan Matematik, Bengkel Abakus, Eksplorasi dan sebagainya.

Biarpun sekolah ini berada jauh di kawasan pedalaman, kekurangan bahan dan infrastruktur bukanlah penghalang utama dalam memastikan sambutan Minggu Matematik tetap dijalankan dengan lancar dan meriah.

Malah, berupaya membina pengalaman langsung melalui penerapan elemen yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Hal ini secara tidak langsung, mampu mewujudkan nilai mencintai subjek matematik apabila sering dikaitkan dengan kehidupan di sekeliling murid-murid.