KANOWIT - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit yang hilang dibawa arus deras Sungai Kanowit ketika cuba menyelamatkan tiga rakan sekampungnya Ahad lalu, ditemukan lemas semalam.

Mayat Carlos Paee, 15, dijumpai terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dekat Nanga Engkeriring, 15 kilometer dari lokasi kejadian, kira-kira jam 8.10 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata, mayat pelajar itu dibawa ke jeti Rumah Tony dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Ibu bapa mangsa yang membuat pengecaman mengesahkan mayat itu adalah anak mereka,” katanya.

Mangsa merupakan anggota Kadet Bomba Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit.

Dalam kejadian di Bukung Jagoi kira-kira jam 1.47 tengah Ahad lalu, Carlos bersama rakannya, David Lee Jilan terjun ke sungai dan berenang ke arah perahu dinaiki tiga rakannya.

Arus sungai yang deras menyebabkan Carlos lemas.

Bagaimanapun, David berjaya berenang ke tebing sungai. - Bernama