MIRI - Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Bahagian Sarawak menolak cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membenarkan pelajar menggunakan kolam renang di hotel bagi menjalani aktiviti renang sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hotel.

Setiausaha kehormatnya, John Teo Peng Yew berkata, tanggungjawab itu seharusnya digalas oleh kolam renang awam yang sentiasa mempunyai atendan kolam renang berkelayakan, yang bertugas sepanjang waktu operasi.

“(Cadangan itu) tidak wajar, oleh sebab ia hanya akan mengganggu ketenteraman di kolam renang hotel, pelajar akan buat bising, melompat masuk dan keluar dari kolam, mewujudkan suasana riuh rendah dan ini akan mengganggu tetamu hotel,” katanya, semalam.

Menurutnya, kolam renang hotel dikhaskan bagi tetamu hotel dan ia sentiasa dipenuhi tetamu hotel yang mahu menikmati keadaan aman di sekitar kawasan serta di dalam kolam renang itu.