KUCHING - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) telah memulakan satu program khusus bagi membantu kumpulan pelajar "Gagal Lulus" atau diistilahkan sebagai 'Galus' dan "Harapan Lulus" atau 'Halus' untuk menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin berkata program yang dikenali sebagai "Inspirasi Yapiem" itu membabitkan lebih 64,000 pelajar dari 1,450 sekolah rendah yang mengambil peperiksaan UPSR dan 1,450 sekolah menengah yang akan mengambil peperiksaan SPM.

Menurutnya dengan kerjasama kementerian pendidikan, kumpulan pelajar yang termasuk dalam kategori sederhana ke bawah ini akan dibantu dari segi motivasi, selain diberi tumpuan kepada teknik menjawab soalan peperiksaan.

Bercakap dalam sidang media di sini malam tadi, beliau berkata program yang turut melibatkan 31 sekolah di Sarawak dan 25 sekolah di Sabah itu dianggar membabitkan kos sehingga RM2.5 juta tahun ini.

Abibullah berkata menerusi program ini, guru-guru berkualiti dihantar ke sekolah-sekolah terpilih di hujung minggu untuk mengajar kumpulan pelajar terbabit dan pembelajaran akan bertambah intensif menjelang tiba tarikh peperiksaan.

"Semua perbelanjaan akan ditanggung oleh Yapiem menerusi aktiviti amal jariahnya. Inilah sumbangan Yapiem untuk membina pembangunan ummah yang mantap," katanya.- Bernama