Ustaz Abdul Razak Mustapha, juga dikenali sebagai Ustaz Gajak adalah anak jati Kampung Tanjung Bundong, Kota Smarahan, sudah berkhidmat selama sembilan tahun di SMK Lundu, Sarawak.

Cinta mendalam terhadap profession perguruan membawa kepada penghasilan karya-karya Inovasi Pendidikan khususnya bagi matapelajaran Pendidikan Islam dan beberapa matapelajaran lain sehingga dinobatkan sebagai pemenang pertama Guru Inovasi Peringkat Daerah Lundu 2015.

Hasilnya dapat diterjemahkan ke dalam diri pelajar yang mampu menguasai pembelajaran dengan mudah terutamanya hal yang melibatkan hukum Tajwid dan sahsiah kendiri tanpa megira latar belakang kaum dan agama pelajar tersebut.

Malahan, Ketua Warden asrama ini turut aktif merencana dan melaksana pelbagai program seperti khemah ibadat, kem jatidiri, Program Mari Selamatkan Haiwan yang memfokuskan usaha menyelamat anjing dan kucing yang terbiar di sekitar kawasan sekolah sebelum diserahkan kepada keluarga angkat yang baharu.

Program Jom Berhenti Merokok, 'Battle of The Band' yang diterajuinya membawa kepada dipelawa dan menyelia pelajar untuk mewakili Sarawak dalam Program Perjalanan ke Istana Sultan Pahang peringkat Kebangsaan, Penyelaras Program Inovasi Kebangsaan di bawah tajaan MyIPO KPNKK, Menggubal Modul PUJI Kebangsaan untuk Giatmara,Penceramah Jemputan bagi program Motivasi di sekitar Daerah Lundu, Bau, Kuching, Samarahan dan Serian.

Selain itu beliau juga mengisi ruang kosong antara Maghrib dan Isyak di surau dan masjid sekitar Lundu dan mengadakan program ziarah ke rumah pelajar yang kurang berkemampuan, Program Awan Biru yang memfokuskan kepada perjalanan ke bandar besar di semenanjung khusus kepada pelajar asrama yang cemerlang dalam akademik.

“Untuk menjadi guru yang hebat ada beberapa perkara yang mesti dilakukan.  Antaranya sentiasa memikirkan apa yang perlu dilakukan sekiranya pelajar itu lemah atau mungkin bermasalah akhlak,” katanya.

Menurut Razak, ego yang tinggi perlu diturunkan selari dengan taraf pemikiran asas pelajar, barulah seseorang mampu menjiwai watak sebagai guru.

“Bagi saya, kelebihan guru ‘popular’ ialah mudah mendekati pelajar kerana kejanggalan jurang interaksi dapat dirapatkan dengan adanya sikap guru yang terbuka,” katanya.

Bagi beliau, perbezaan jenama keturunan bangsa dan agama tidak menjadi masalah besar dan ini terbukti dengan pemantapan sahsiah kendiri yang mampu mengalih perhatian mereka kepada “pengacau” di asrama sebagai contoh, kepada perencana program baik di peringkat sekolah dan melibatkan agensi luar.

“ Semua ini tidak datang dengan mudah melainkan dengan kekuatan yang wujud hasil sokongan dan kesatuan hati rakan sejawat, pihak pentadbir sekolah, rakan warden, Pengetua dan seluruh ahli keluarga tersayang yang memungkinkan segala usaha yang dirancang berjaya dilaksanakan.



"Sekiramana berjumpa dengan pelajar yang bermasalah janganlah terus ‘cap’ individu itu sebagai pesalah, sebaliknya buat kaji selidik secara am dan fokus bagi memahami hidup pelajar tersebut terlebih dahulu," katanya.

Menurut beliau lagi, mendidik manusia merupakan proses berterusan sepanjang hayat dan memerlukan kesabaran yang amat tinggi.

“Mungkin masa kini tidak nampak hasilannya, tapi 10 ke 20 tahun akan datang barulah kesannya muncul.

"Berdepan dengan 1001 macam karektor di dalam kelas memerlukan persiapan diri yang mantap. Seseorang guru haruslah sentiasa mengembangkan potensi diri dari semasa ke semasa dalam menempuh arus pendidikan yang semakin meribut setiap hari," terangnya lagi.   Razak juga berkata, pakaian yang kemas dan

menarik, cara penyampaian yang mantap, kefahaman pada aras penerimaan pelajar dan juga kemahiran ICT yang ceria merupakan faktor yang boleh dipertimbangkan dalam menarik pelajar untuk kekal fokus dalam pembelajaran di kelas.

Pengetua SMK Lundu, Mohd Iskandar Abdullah berkata, Razak adalah seorang rakan guru yang berdedikasi dan tegas dalam menjalankan tugas khususnya dalam matapelajaran Pendidikan Islam dan pengurusan asrama.

“Beliau merupakan seorang rakan dan juga sahabat yang sentiasa positif dalam mendepani apa jua masalah,” katanya.

Guru pusat sumber, Halimah Yunus pula berpendapat, Razak Seorang guru yang kreatif terutamanya dalam hal yang melibatkan pembelajaran dan inovasi.

“Beliau banyak menghasilkan nota berbentuk kartun dan ithink dan dapat memudahkan penerimaan pelajar dalam subjek yang diajar,” katanya.

Pelajar tingkatan enam  SMK Lundu, Veronina Shane Lobin berkata, Ustat Razak adalah seorang guru yang sentiasa memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka dan membuat penemuan baru khususnya dalam bidang inovasi pembelajaran.

Manakala pelajar tingkatan tiga  SMK Lundu, Ximilliana Longer berpendapat, Ustat Razak adalah guru yang berdedikasi.

“Siang dan malam beliau menjaga kami bersama barisan warden yang sungguh “awesome”.

Pelajar tingkatan enam  SMK Lundu, Nur Faridah Pendi berkata, Ustat Razak merupakan seorang guru dan jugak bapak yang sentiasa tahan dengan karenah mereka selaku anak-anak yang memerlukan “alignment” sepanjang perjalanan mereka.