SARAWAK akan menghantar pegawai pendidikan melawat 188 sekolah menengah yang mempunyai pelajar Tingkatan Lima dan Enam di negeri ini dan membantu 2,644 guru dari Semenanjung Malaysia kembali semula ke Sarawak untuk mengajar sebelum pembukaan sekolah pada 24 Jun.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, Jabatan Pendidikan Negeri akan membuat lawatan bermula 15 Jun untuk memastikan semua sekolah bersedia untuk pembukaan itu.

“Kami juga telah berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SMDC) dan akan cuba mendapatkan Sukarelawan Sarawak (badan sukarela belia negeri) untuk membantu guru dari Semenanjung Malaysia (tepat pada waktunya) kembali ke Sarawak (untuk meneruskan perkhidmatan mereka),” katanya dalam sidang media di sini.

Menurut beliau, Sarawak mempunyai 34,306 pelajar Tingkatan Lima dan 6,782 pelajar Tingkatan Enam, dan daripada jumlah keseluruhan sekolah menengah di negeri ini, 41 sekolah harus menjalankan kelas dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang.

Beliau juga berharap ibu bapa agar tidak bimbang mengenai risiko jangkitan pandemik COVID-19 apabila pelajar kembali semula ke sekolah kerana kerja-kerja sanitasi telah dilakukan di semua sekolah selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang sekolah beroperasi.

BERNAMA