PELUGAU - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pelugau menjadi insan yang sangat bertuah apabila menerima kad balasan Hari Raya Aidilfitri biarpun sudah sebulan Syawal berlalu pergi.

Seramai 101 murid prasekolah hingga tahun enam serta 23 kakitangan di sekolah tersebut tidak menduga sama sekali pada tahun ini mereka akan menerima kad raya pemberian Sultan Brunei Darussalam, Hassanal Bolkiah.

Ketua pelajar, Cherria Natasha anak Pengabang turut berasa sangat seronok dan terharu.

"Siapa yang tidak gembira apabila menerima kad raya daripada Sultan Brunei," luahnya.

Guru-guru di sekolah tersebut turut melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada tuanku atas pemberian kad raya tersebut.

Ternyata ingatan tuanku terhadap setiap insan yang mengirimkan kad raya kepada beliau benar-benar menyentuh hati setiap insan yang menerima kad daripada baginda.

SK Kuala Pelugau juga merupakan sebuah sekolah yang terletak di pendalaman daerah kecil Selangau, Sibu, Sarawak turut menerima kad raya daripada Sultan Hassanal Bolkiah pada tahun lepas.