Sumbangan buku daripada Karangkraf bernilai RM6000 memberi sinar kegembiraan kepada Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kuala Pelugau, PPD Selangau, Sarawak di mana sumbangan bahan bacaan ini sedikit sebanyak dapat membantu menambahkan koleksi bahan bacaan sekolah.

Pada 2009 dan 2015, banjir besar telah melanda sekolah ini dan menghanyutkan hampir keseluruhan buku-buku yang terdapat di pusat sumber tersebut. Kedudukan sekolah ini yang dikelilingi dua batang sungai iaitu Sungai Pelugau dan Sungai Balingian memburukkan lagi banjir yang melanda sekolah pada tahun tersebut.

Sejak awal pertengahan tahun 2015, pelbagai cara dilakukan pihak sekolah untuk menambahkan lagi koleksi bahan bacaan di pusat sumber.

Kekurangan bahan bacaan menyebabkan hampir setahun murid-murid tidak dapat membuat pinjaman buku memandangkan bilangan buku yang tidak mencukupi biarpun bilangan murid hanyalah 87 orang sahaja iaitu dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Kedudukan sekolah ini dalam kategori sekolah pedalaman, menambahkan lagi kesukaran murid-murid untuk mencari bahan bacaan tambahan yang lain kerana ketiadaan Perpustakaan Desa yang terdekat dan capaian internet yang terbatas.

Ternyata, pada tahun ini pihak sekolah begitu teruja apabila memperoleh sumbangan buku bernilai RM6000 dan ini semestinya satu khabar gembira yang ditunggu-tunggu oleh keseluruhan warga sekolah.

Kegembiraan ini jelas terpancar dalam setiap wajah anak-anak di sekolah pedalaman ini yang begitu cinta akan ilmu pengetahuan.

Sesungguhnya, sumbangan buku yang diperoleh amat bernilai dalam hati setiap insan yang membacanya.

Semoga setiap patah bicara yang terungkap dalam bait-bait kata setiap bahan bacaan yang dibaca, mengingatkan mereka akan kesusahan yang dialami dalam memperoleh sesebuah bahan bacaan.

Hal ini sudah tentunya akan memupuk dan mendidik erti menghargai setiap pemberian kerana kesukaran yang lalu akan mengajar anak-anak ini lebih berfikiran matang dalam mendepani setiap cabaran.

Murid meraikan kegembiraan bersama buku sumbangan Karangkraf.