SHAH ALAM - Jenazah Allahyarham Arrzahara Affendi, 28, akan dibawa ke Kuching hari ini.

Kejadian yang menimpa dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Awat-Awat, Lawas semalam itu tentunya menyentuh hati para guru seluruh negara.

Menerusi FB Cikgu Emmet Menulis, beliau ada memaklumkan bahawa kejadian itu berlaku ketika mangsa Arrzahara Affendi dan rakan guru David Tiong Yong Ling dalam perjalanan menghantar kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, ketika kejadian David yang merupakan ketua pengawas sempat menyelamatkan karung berisi skrip Sains Kertas 2 UPSR manakala Cikgu Arrzahara meninggal dunia di Hospital Lawas.

Menurut sumber, ketika kejadian, David dalam keadaan cedera dan berdarah masih memeluk karung yang mengandungi skrip jawapan calon UPSR.

Kata sumber itu, dengan bantuan seorang rakan, beliau menghantar skrip jawapan calon ke bilik kebal di Lawas sebelum mendapatkan rawatan di hospital.

Semalam Bernama melaporkan, seorang guru wanita yang baharu selesai menjalankan tugas sebagai pengawas UPSR maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Trusan jam 12.30 tengah hari.

Keadaan ketika kemalangan yang berlaku di Jalan Trusan.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa Arrzahara Affendi, 28, duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan Perodua  Myvi yang dipandu oleh rakannya seorang guru lelaki berusia 24 tahun.

“Kemalangan berlaku apabila kereta yang datang dari arah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Trusan ke Wisma Persekutuan Lawas terbabas dipercayai dipandu laju,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya mangsa meninggal dunia pada jam 2.20 petang di Hospital Lawas setelah cedera parah akibat kemalangan itu manakala pemandu Perodua Myvi hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu menyebabkan Perodua Myvi hangus terbakar dan kebakaran dapat dipadamkan pada jam 12.43 tengah hari.

Perodua Myvi yang dipandu David terbakar.

Arrzahara

'Last day bertugas' - Gambar yang dimuat naik di facebook Arrzahara sebelum kejadian.
 

David ketika di Hospital Lawas.

Keadaan Perodua Myvi yang dinaiki David dan Arrzahara setelah kebakaran berjaya dipadamkan pihak bomba.

Kejadian kebakaran telah menarik perhatian pengguna jalan raya di Jalan Trusan, semalam.