SARAWAK - Pada 22 November yang lalu, Panitia Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Seruyuk, di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan, Sarawak telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran yang membabitkan 4 murid lelaki dan 11 perempuan.

Majlis khatam Al-Quran pada kali ini dihadiri oleh Ketua Ranting PBB Seruyuk merangkap wakil kepada Adun Sebuyau, Omar Ismail serta turut dihadiri oleh wakil PPD Simunjan iaitu Jamayah Tompel.

Apa yang unik dan menariknya, sambutan majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran ibu bapa serta waris murid-murid yang membawa ‘jong’ ataupun perahu kecil yang dihasilkan sendiri sebagai simbolik hantaran kepada guru yang mengajar Al-Quran kepada anak-anak mereka.

Jong yang dihasilkan daripada ‘kayu pelaik’ dihias cantik dan diserahkan kepada guru-guru sebagai penghargaan jasa serta sumbangan dalam membentuk kemenjadian insan anak-anak mereka ke arah pembentukan sahsiah terpuji.

 

Penggunaan jong merupakan amalan tradisi masyarakat Melayu luar bandar khususnya di kawasan Sebuyau dan tradisi penghasilan jong ini adalah sebagai usungan untuk guru-guru yang mengajar Al-Quran di mana martabat seorang guru dimuliakan serta merupakan penghormatan tertinggi kepada guru dalam kalangan masyarakat.

Usungan digunakan sebagai satu penghargaan kepada anak-anak yang telah berjaya mengkhatamkan Al-Quran dengan baik dan lancar.

Pada majlis tersebut, penyerahan replika jong turut beserta bersama-sama pulut kuning, bunga telur dan juga wang untuk diserahkan kepada guru yang mengajar serta mengaji Al-Quran kepada anak-anak mereka.

Pada majlis tersebut juga, murid-murid didedahkan dengan pelbagai kelebihan membaca dan mentadabbur Al-Quran seperti dapat mengeluarkan manusia daripada kekufuran seperti mana yang termaktub dalam Al-Quran surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud:

“Alif, laam raa. (Ini adalah) Kitab yang kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang menderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”

Guru Besar, Zainal Haji Kuching berkata, Majlis Khatamal Al-Quran mula dianjurkan pada tahun 2013 setelah tenaga pengajar Pendidikan Agama Islam yang bertauliah mencukupi.

"Sejak itu, majlis ini terus subur dalam jiwa setiap warga sekolah dan juga masyarakat setempat. Penglibatan ibu bapa secara total dalam majlis sebegini merupakan salah satu elemen dalam sarana ibu bapa dan sekolah serta berupaya memberi kemaslahatan kepada kedua-dua belah pihak.

"Ternyata, sambutan Majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan oleh SK Seruyuk berupaya menghidupkan kembali amalan tradisi dalam khatamal Al-Quran dan jelas berupaya memberi peringatan kepada semua hadirin yang hadir dalam membudayakan dan mendekatkan Al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat.

"Sesungguhnya, sambutan sebegini akan berupaya membentuk sahsiah terpuji dan akhlak mulia murid-murid di sekolah ini. Semoga, setiap gerak kerja yang dilakukan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT. InshaAllah," katanya.