KUCHING - Kementerian Pendidikan menyediakan peruntukkan RM142 juta sebagai elaun bulanan khas bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) di seluruh negara.

Timbalan menterinya Teo Nie Ching berkata, setiap MBK yang berdaftar di sekolah kerajaan akan menerima elaun sebanyak RM150.

"Elaun RM150 akan diberikan bagi setiap MBK yang berdaftar di sekolah kerajaan dalam usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memastikan tiada tiada golongan OKU terpinggir daripada mendapat hak asas manusiawi iaitu pendidikan yang sempurna,” katanya.

Menurut beliau KPM melaksanakan dasar ‘Zero Reject Policy’ bagi MBK dan seramai 83,093 telah mendaftar dengan KPM setakat Januari 2019.

"Bagi Sarawak, sejumlah 5,804 MBK telah mendaftar setakat 31 Jan 2019 berbanding 5,766 MBK pada 2018.

"Daripada jumlah itu, 147 MBK berada di sekolah pendidikan khas, 4,432 MBK sedang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi dan 590 MBK sedang menjalani Program Pendidikan Inklusif,” katanya.

Nie Ching (dua, kiri) menyaksikan persembahan daripada murid istimewa pada lawatan kerja ke SJKC Bintawa hari ini.

Sementara itu, kata beliau ketika ini hanya 14 peratus daripada kanak-kanak berkeperluan khas dalam negara mendaftar di sekolah kerajaan.

Menurutnya, angka itu boleh dianggap rendah, memandangkan mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 10 peratus daripada setiap negara di seluruh dunia terdiri daripada mereka yang berkeperluan khas.

"Oleh itu bagi kami amat penting untuk menggalakkan ibu bapa menghantar anak berkeperluan khas ke sekolah, supaya kita dapat pastikan bahawa mereka juga diberi peluang untuk mendapat pendidikan di sekolah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bintawa di sini hari ini.

Beliau berkata salah satu sebab utama ibu bapa enggan menghantar anak-anak ini ke sekolah adalah kerana stigma sosial yang dialami mereka tidak mahu anak dilabel sebagai 'orang kurang upaya'.

"Sesetengah ibu bapa tidak dapat menerima kenyataan, secara umumnya mereka dalam keadaan penafian.

"Jadi mungkin ada antara mereka yang tidak sedar bahawa sekolah kerajaan masih menyediakan pendidikan bagi golongan ini,” katanya. - Bernama