TUMPAT - Usianya 16 tahun tetapi masih merangkak seperti bayi untuk bergerak disebabkan badannya lumpuh dari paras pinggang ke bawah apabila dilahirkan dengan Spina Bifida (kecacatan tulang belakang).

Biarpun begitu, Zati Aina Izad Fathan dari Kampung Pasir Pekan di sini memiliki hati yang cekal kerana menyimpan impian mahu menjadi tukang jahit profesional.

Baginya hanya kaki yang lumpuh tetapi tangannya masih mampu bergerak.

Zati Aina berkata, dunianya banyak dihabiskan di dalam rumah ditemani ibunya, Normi Ibrahim, 45, selepas bapanya, Izad Fathan Che Mokthar meninggal dunia 10 tahun lalu kerana kanser mulut.

“Saya hanya sempat bersekolah di darjah satu, nak ke sekolah susah kerana badan cacat.

“Tetapi saya mampu membaca dan menulis dengan lancar kerana belajar sendiri di rumah dengan kakak dan adik,” katanya.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia minat menjahit kerana sering melihat ibunya menyiapkan tempahan baju pelanggan yang menjadi punca pendapatan keluarganya.

Ibunya, Normi berkata, anaknya meminati bidang jahitan tetapi disebabkan keadaannya yang perlu memakai lampin pakai buang setiap masa agak sukar untuk dia keluar rumah.

Zati Aina belajar menjahit dengan ibunya di rumah.

“Kalau boleh saya nak tengok dia masuk kelas jahitan, tetapi bila fikirkan soal kewangan dan anak saya perlu merangkak, saya buntu.

“Saya boleh ajar dia menjahit, tapi hanya baju kurung sebab itu sahaja kepandaian saya,” katanya.

Selain menjahit baju kurung, Normi turut mengambil upah mengasuh anak saudara dengan bayaran RM300 sebulan.

“Perbelanjaan lampin pakai buang Zati Aina pula harapkan sepenuhnya bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Normi berkata, anaknya itu juga rajin belajar menjahit di rumah dan dia menggunakan lutut untuk menggerakkan mesin jahit.

Melihat kesungguhan anaknya itu, dia berharap ada pihak dapat merealisasikan impian Zati Aina.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Normi di nombor 03116 29 000 10938 7.

Zati Aina bersama ibu dan kakaknya, Zati Adlin (dua, kanan) serta adiknya Zati Ayuni di rumah mereka di Kampung Pasir Pekan, Tumpat.

ARTIKEL MENARIK:

Catat tip yang diberikan guru berpengalaman - Bapa ini kongsi rahsia peroleh 6A dalam UPSR

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu-cikgu di Malaysia

'Awal Ramadan dulu tiba-tiba dia lemah' - Ibu terpaksa beranikan diri jarum peneman anak setiap hari

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Di sebalik nama 'keretapi hantu' yang dinaiki pelajar SMK Dabong - Ramai ingin tahu cerita sebenar