SHAH ALAM - Seorang bapa memohon pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menimbang semula kemasukan anaknya ke universiti itu setelah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diperoleh berubah selepas membuat semakan semula, semalam.

Mohd Fauzilan Mat Nor, 57, berkata, keputusan yang diumumkan 14 Mac lalu anaknya Nur Ilham Sofiyah, 18, mendapat 7A 1B+ 1C+ dan Gagal subjek Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah.

"Seminggu selepas keputusan diumumkan saya mengisi borang semakan semula setelah Ustazah Siti Zubaidah Ahmad yang mengajar subjek tersebut hairan dengan prestasi Nur Ilham Sofiyah.

"Alhamdulillah keputusan semakan semula yang diterima pada jam 3 petang, semalam membawa berita gembira kerana Nur Ilham Sofiyah didapati mendapat A- dalam subjek Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah," katanya kepada GPS Bestari.com.

Sebelum mendapat keputusan yang baharu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 itu telah memohon UPU dengan menggunakan keputusan lama.

"Anak saya mohon beberapa universiti, antaranya USIM, UniSZA, UIA dan UiTM.

Setakat ini, keputusan USIM sudah keluar, tetapi anak saya tidak dapat masuk kerana subjek Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah gagal. 

"Jadi, dengan keputusan yang baharu ini, saya harap pihak USIM dapat mempertimbangkan keputusan itu semula," katanya.

Mohd Fauzilan yang juga Pengerusi MalaysiaPass berkata, beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) atas kesilapan yang berlaku.

Dengan keputusan baharu ini Nur Ilham Sofiyah mendapat 8A 1B+ dan 1C+.

Artikel berkaitan:

Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semula dibuat