NILAI - Majlis konvokesyen sememangnya dinantikan oleh para graduan kerana pada hari yang bersejarah ini mereka berpeluang untuk menyarung jubah konvokesyen dan merakamkan gambar kenangan bersama ibu-bapa dan ahli keluarga.

Perasaan ini turut dirasai Nur Shima Sahimi, 24, graduan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-18 USIM, baru-baru ini.

Pastinya menambah kenangan manis buat Nur Shima apabila menerima hadiah buah nanas daripada ibunya selepas majlis konvokesyennya berakhir pada Isnin.

Gadis cantik yang kini bertugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta berkata, kejutan ibunya itu walaupun melucukan namun ia tetap menggembirakan hatinya kerana pemberian buah nanas tersebut sesuatu yang istimewa selain bunga konvokesyen yang diterima.

“Buah nanas ini pada awalnya emak belikan untuk diberikan kepada kakak sebagai menu bahan masakan. Tapi kakak tak jadi gunakan buah nanas ini sebab masak menu yang lain. Tak mahu membazir, emak bawa buah nanas ini bersama ke majlis konvokesyen saya pada Isnin lalu.

“Selesai majlis di dalam dewan, emak minta saya ambilkan buah nanas tersebut dalam kereta dan berikan kepada saya. Sebagai kenangan, kakak ambilkan gambar saya bersama buah nanas pemberian emak," katanya dengan menambah ketika ibunya mahu memberikan nanas, dia gelak kerana mengandaikan ibunya bergurau.

Sementara itu, Nur Shima dan rakan-rakannya bersyukur dapat diraikan oleh USIM dalam majlis konvokesyen dalam norma baharu iaitu secara hibrid.

"Saya rasa okey sahaja pelaksanaan majlis konvokesyen secara janji temu ini kerana ibu-bapa tidak perlu menunggu lama dan pelaksanaan setiap sidang tidak mengambil masa yang panjang kerana atur caranya lebih ringkas. Proses pengambilan gambar graduan menggunakan skrin hijau juga cepat dan tidak perlu bersesak-sesak," katanya.

Akibat penularan pandemik Covid-19 pada tahun lalu, USIM menangguhkan pelaksanaan majlis konvokesyen yang kebiasaannya dilaksanakan pada bulan November ke tahun ini.

Majlis Konvokesyen USIM dilaksanakan bermula 6 April lalu sehingga 18 April ini yang melibatkan 23 sidang secara keseluruhannya. Dilaksanakan secara janji temu, bilangan graduan dan ahli keluarga yang dibenarkan berada di dalam dewan dikecilkan sebagai langkah pencegahan jangkitan dan penularan Covid-19.

Artikel menarik

SMK Kubang Kerian cipta aplikasi atasi masalah sampah, kitar semula

794 pelajar kurang berkemampuan terima komputer percuma di bawah Program Komputer E-Pembelajaran