KUALA LUMPUR - Cucu Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz berhasrat mengikut jejak datuknya menjadi seorang pendakwah yang disegani.

Muhammad Anwar Mohamad Yusri, 17, yang belajar di Maahad Tahfiz al-Quran al-Imam an-Nawawi (MATIN) di Kangar, Perlis berkata beliau mahu menyambung legasi datuknya menyumbang dalam bidang agama.

"Tok Wan gembira apabila saya menyuarakan hasrat untuk belajar dalam bidang agama seperti beliau dan jika ada masa terluang beliau akan melawat saya di sekolah.

"Jika diizinkan Allah SWT, saya ingin menyambung legasi beliau dalam bidang agama ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Batu Muda di sini, semalam.

Muhammad Anwar yang akan mengikuti pembelajaran di luar negara tahun depan berkata datuknya itu sering memberi nasihat supaya beliau belajar agama dengan bersungguh-sungguh.

"Tok Wan seorang yang tegas... memang sedih apabila dapat tahu beliau pergi beberapa hari sebelum Ramadan.

"Kalau bulan Ramadan, Tok Wan akan jadi imam solat terawih dan beliau selalu hantar makanan kepada saya di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yusri Abu Hassan, 45, berkata bapanya sentiasa berpesan supaya beliau adik beradik solat dengan sempurna untuk mendapat keredhaan Allah.

"Walaupun wajah ayah dilihat sedikit garang berbanding abang-abangnya tetapi beliau seorang yang suka bergembira dan berjenaka dengan kami,” katanya.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi semalam selepas rebah dan tidak sedarkan diri selepas menunaikan solat subuh.

Jenazah dibawa ke Masjid Saidina Hamzah untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih selepas Asar semalam. -  Bernama

ARTIKEL LAIN:

'Saya harap pihak USIM timbang kemasukan anak.. keputusan SPM dia dah berubah.' - Bapa

Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semula dibuat

Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 - Ini teks penuh ucapan Maszlee

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun 6, Cikgu Norashikin dedah siapa pemilik tulisan ini