KUALA TERENGGANU - Suasana sedih menyelubungi pekarangan Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pagi semalam, sebaik sahaja mayat bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Alllahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, tiba jam 8.45 pagi, semalam.

Lebih 150 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat mangsa berada di bilik mayat selepas mayat mangsa ditemui jam 7.23 pagi.

Turut hadir, ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Suasana bertambah hiba apabila Nordiana Alwani Jaafar, 33, mangsa yang berjaya diselamatkan Allahyarham turut hadir memohon maaf kepada ibu bapa arwah hingga masing-masing menitiskan air mata.

Allahyarham Abdul Bari Asyraf digelar wira penyelamat kerana keberaniannya terjun ke sungai menyelamatkan lima mangsa hingga mengorbankan nyawanya sendiri.

Mayat Allahyarham Abdul Bari Asyraf ditemui jam 7.23 pagi semalam, pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Jenazah dibawa keluar dari bilik mayat jam 10.50 pagi, menuju ke Masjid Kampung Merbau Patah untuk disolatkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merbau Patah selepas solat Zuhur.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, selepas hampir dua hari mencari, mayat Abdul Bari Ashraf ditemui pagi semalam.

Menurutnya, mayat ditemui di muka kuala tanjung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam jam 7.23 pagi, pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan dinaikkan sebelum dibuat pengecaman oleh ahli keluarga mangsa," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Abdul Bari Asyraf yang sedang memancing, terjun ke sungai menyelamatkan lima mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang meluncur sebelum terjunam ke sungai.

Namun, Abdul Bari Asyraf dikatakan alami kekejangan otot, menyebabkan dia gagal mengawal keadaan sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.

Ini pula kenyataan ibu dan ayah beliau yang bangga dengan tindakan anaknya menyelamatkan nyawa orang lain walaupun sedih dengan kehilangan Abdul Bari https://www.gpsbestari.com/berita/terengganu/walaupun-sedih-kami-bangga-ayah-wira-negara-abdul-bari-ada-gambar-lama-bersama-rakan-sekerja-1.922111