SIK - Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kedah 2018 yang kini bertarung dengan kanser otak berharap penglihatannya kembali pulih demi membaca ayat suci al-Quran.

Ibu, Che Anisah Md Saad, 43, berkata, anaknya  Muhammad Azwar Mohd Ariff disahkan mengidap kanser otak pada Oktober  tahun lalu.

Menurutnya, penyakit dialami menyebabkan tahap  penglihatan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sik itu kabur selain pergerakannya lemah dan terhad.

“Azwar mempunyai dua impian, pertama dia  berharap matanya kembali pulih untuk membaca al-Quran. Dia yakin penglihatannya  akan pulih.

“Kedua, Azwar mahu ke Makkah apabila sihat  seperti sediakala,” katanya  ketika ditemui di Kampung Banggol Kiat, semalam.

Tambahnya, kanser Azwar masih di peringkat permulaan di mana doktor memaklumkan ketumbuhan itu membesar sepanjang  8 sentimeter.

Terdahulu, Azwar dan keluarga diziarahi aktivis  kemanusian serta kumpulan Amal Qaseh. 

Pertemuan hampir 30 minit itu bertukar hiba apabila Azwar yang diminta membaca beberapa potong ayat al-Quran mengalunkan ayat berkenaan dengan suara yang merdu.

Che Anisah berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu hanya mampu  memeluk al-Quran.

“Penglihatannya yang  kabur menghalang dia membaca al-Quran, jadi Azwar hanya mampu memeluk dan mencium al-Quran. Dia juga tidak dapat ke sekolah lagi.

“Dia juga hanya mengalunkan semua surahsurah dihafal sewaktu masih sihat,” katanya.

Katanya, dalam keadaan lemah, Azwar tetap bersolat  seperti biasa dan tidak pernah meninggalkan tuntutan wajib itu.

Anisah berkata, setiap bulan Azwar akan menerima rawatan lanjut di Hospital  Besar Pulau Pinang dan Hospital Alor Setar.

“Dia telah jalani pendedahan otak pada 23 Oktober tahun lalu. Doktor hanya membuang cecair dan mengambil sampel kanser.

“Anak saya sudah habis jalani semua rawatan kemoterapi dan radioterapi.  Pada Jun ini, Azwar akan jalani MRI dan daripada  situ tahap kansernya dapat  diketahui,” katanya.

Sementara itu, aktivitis masyarakat, Rohaidatul  Asma berkata, dia dengan  kerjasama Amal Qaseh menyantuni 61 buah rumah penduduk Sik bermula Sabtu hingga semalam.

Menurutnya, setiap rumah diberikan bantuan barangan dapur bernilai RM150 hasil jualan amal dan kutipan.

“Untuk adik Azwar kita turut menyumbangkan 10 tin susu yang diperlukannya,” katanya.

____________________

Orang ramai ingin
membantu boleh
menyalurkannya ke akaun
Maybank bernombor
152040392473 atas nama
Che Anisah Md Saad
atau hubungi Mohd Ariff
Ismail (ayah) di talian
017-5517084
____________________

 

Artikel lain:

Musibah keluarga pelajar SMK Setia Alam dan SK Setia Alam.. sumbangan orang ramai dialu-alukan

'Cikgu, ice box saya ada khinzir.' - Kerana terpaksa ini yang mereka buat selepas itu

Dua beradik juara seni khat.. warisi bakat bapa

Rahsia nota kecil ditulis pelajar 19 tahun.. cikgu ini kongsi isi nota yang buat hatinya tersentuh

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia