KOTA BHARU - Bukan insiden culik tetapi hanya satu daripada adegan dalam filem pendek. 

Itu penjelasan yang diberikan pemandu kereta Perodua Viva bewarna putih dalam satu rakaman video berdurasi 19 saat yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Abdullah Aqili Romeli, 28, mengaku dia bersama seorang rakannya merupakan individu dalam rakaman memaparkan seorang murid berusia lapan tahun yang memakai uniform sekolah diculik di Jalan Kebun Sultan di sini.

Pemuda dari Bachok itu berkata, bagaimanapun insiden itu satu daripada adegan filem pendek yang dihasilkan oleh sebuah badan bukan kerajaan dari Pulau Pinang Jumaat lalu.

“Saya ialah pelakon yang membawa kereta jenis Perodua Viva putih dalam rakaman itu. Kejadian itu bukan penculikan sebenar, sebaliknya hanya dirakam untuk memasuki pertandingan filem pendek anjuran Kementerian Penerangan Malaysia.

“Rakaman yang tular berdurasi 19 saat itu pula adalah sebahagian daripada sedutan filem yang keseluruhannya berdurasi 3 minit 20 saat dan berkisarkan tentang perkauman,” katanya ketika kepada pemberita ketika dihubungi di sini semalam.

Abdullah Aqili berkata, dia tidak tahu rakaman tersebut dimuat naik di laman sosial sehingga melihatnya sendiri kelmarin dan berasa bertanggungjawab tampil membetulkan salah faham itu.

“Saya hanya berlakon dalam filem berkenaan. Mengenai sedutan culik yang dimuat naik sehingga mengundang kebimbangan dalam kalangan netizen, saya tidak tahu dan hanya boleh mengesahkan rakaman itu adalah lakonan serta bukan kes culik sebenar.

“Saya juga tidak tahu sama ada dia adalah taktik promosi atau tidak dan saya sendiri terkejut apabila rakaman itu banyak dikongsi sehingga disalah erti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung kejadian culik terbabit.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sesuatu berita yang tidak sahih kerana tindakan itu adalah satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Hukuman mengikut Akta 588, (jika sabit kesalahan) adalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel berkaitan:

Berkenaan maklumat tular cubaan culik murid SK Pelindung ini kata Ketua Polis Kuantan

Tular tiga kes culik murid di Pontian - Ini penjelasan Ketua Polis

PIBG tidak pernah terima aduan - Tular cubaan culik daripada sumber tak sah

Mesej tular kes culik kanak-kanak sejak semalam tidak benar

Polis siasat kes culik pelajar, mangsa dakwa diculik ketika tunggu bas di Taman Pandan Indah