“BOLEH saya salam cikgu, cium tangan cikgu dan dakap cikgu? Saya rindu ibu dan ayah saya yang tidak pernah jenguk saya…”

Sudah masuk tiga tahun, Guru lulusan Universiti Sains Malaysia, Cikgu Mohd Jefri Ali Basah mengajar di Sekolah Integriti, Penjara Pusat Kota Kinabalu Sabah.

Ketika ditemubual GPS Bestari, Guru Subjek Bahasa Melayu & Sejarah itu memberi tahu, pelbagai kenangan manis dapat dikecapi beliau sepanjang mengajar di balik tirai besi.

Antaranya, dapat mengajar pelajar SPM yang tidak pernah bersekolah menengah di aliran perdana kerana terlibat dengan kegiatan jenayah di luar.

“Alhamdulillah, pelajar tersebut lulus dengan baik semua subjek termasuk subjek yang saya ajar iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Tiada satupun pengalaman pahit antara saya dan mereka, sebab saya sayang semua pelajar saya,”katanya.

Ujar beliau, kesemua pelajarnya berusia di antara 17 tahun sehingga 21 tahun.

“Tiada sebarang perbezaan pengajaran dan pembelajaran kerana semua sukatan adalah dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Semua adalah sama termasuk Kokurikulum yang dijalankan di sekolah biasa, cuma waktu mengajar kami adalah dari jam 7 pagi hingga 3 petang.

“Saya dapat lihat mereka ini amat memerlukan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada keluarga. Keluarga yang berantakan menjadi penyumbang utama anak-anak mereka terjebak dengan kes jenayah selain faktor rakan sebaya,”katanya.

Tambah beliau, sudah menjadi tanggungjawab setiap guru itu, selain mengajar, guru juga perlu membuat sesi kaunseling dan bicara dari hati ke hati.

“Pendekatan ini dilihat dapat memberi peluang kepada kami mendalami dan memberikan bimbingan serta tunjuk ajar agar mereka boleh berubah pada masa hadapan,”jelasnya.

Menurut Cikgu Jefri, bukan tugas mudah mengajar di sekolah penjara. Memandangkan ada di antara mereka tidak mempunyai asas pembelajaran awal di sekolah.

“Saya perlu mengajar silibus awal di dalam kelas. Sukatan pelajaran pula saya perlu ajar mereka dengan sukatan pelajaran darjah 4, agar mereka faham betul-betul tatabahasa Bahasa Melayu.

“Bila semuanya sudah faham, barulah saya kejar sukatan SPM, sebelum mereka menduduki peperiksaan pada bulan November. Masa tu memang terkejar-kejar nak mengajar. Tapi sebab minat dan sayang, semua itu bukan halangan,”katanya.

Menurutnya, beliau akan berusaha sebaik mungkin sehingga pelajarnya dapat menjawab dengan baik dan lulus SPM.

Kelulusan itu, membolehkan mereka menyambung pengajian ke universiti tempatan, sekali gus membantu mereka membina masa depan yang lebih terjamin pada masa hadapan.

Tidak hairanlah guru asal Sandakan ini seringkali diundang sebagai penceramah bebas ke sekolah-sekolah aliran perdana, untuk memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar mengenai masalah disiplin, jenayah juvana & hukuman.

Baru-baru ini, Cikgu Jefri berkongsi pandangan dan pengalamannya mengajar di penjara. Rata-rata netizen yang mengikuti perkongsian itu memberikan respon positif dan mendoakan yang terbaik.

Menerusi perkongsian itu, bukan suatu yang memalukan apabila terpaksa berhadapan dengan pelajar yang pernah terbabit dengan pelbagai jenayah lampau, sebaliknya ia sebagai satu teladan dan juga pembelajaran erti hidup buat kita semua.  

Perkongsian 1

Sebagai Guru yang mengajar di Sekolah Dalam Penjara, Saya terpanggil untuk meluahkan sesuatu dalam ruangan ini sebagai pengajaran kepada diri sendiri dan semua.

Berhadapan dengan pelajar-pelajar yang mempunyai kes jenayah lampau yang membabitkan dadah, rogol, cabul, bunuh,samun, gaduh, rompak, pelacuran, pemerdagangan manusia dan sebagainya, sebenarnya mereka telah mengajar kita banyak ERTI HIDUP.

Justeru, ibu bapa terutamanya perlu mengawal dan ambil tahu anak-anak dari kecil sehinggalah mereka dewasa.

1.Kawal anak-anak kecil perempuan dan lelaki agar tidak menjadi mangsa rogol dan cabul keluarga sendiri mahupun jiran-tetangga.

2.Kawal pergerakan anak-anak remaja & perlu ambil cakna setiap tingkah-laku mereka

3.Ibu bapa perlu tahu kawan anak-anak mereka.

4.Didik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan sepenuh perhatian

5.Jangan biasakan anak-anak dengan kemewahan yang menggunung tinggi.

Guru di sekolah aliran perdana juga perlu memikul tanggungjawab ini agar murid-murid sekolah tidak terjebak dengan pelbagai tingkah-laku sosial.

 "Jangan masuk kelas kemudian mengajar, tunggu masa habis terus pulang, sebenarnya tanggungjawab kita masih banyak lagi,”

Anak-anak yang ada di hadapan mata saya tadi mempunyai 1001 persoalan dalam dada, yang kita sendiri pun tidak tahu kehidupan sebenar mereka.

Semoga kita guru-guru yang mengajar di sebalik tirai besi akan terus tabah dan diberikan kerahmatan oleh ALLAH SWT.?

Kepada pelajar cikgu yang sudah bebas, tolong jaga diri baik-baik ya.

#CikguSayangKalian

Perkongsian 2

Bingkisan dari Sekolah Dalam Penjara.

"Boleh saya salam cikgu, cium tangan cikgu dan dakap cikgu?

Saya rindu ibu dan ayah saya yang tidak pernah melawat selama saya di penjara kerana mereka tinggal jauh dan jika mereka tidak datang pun tidak apa cikgu kerana saya faham mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk saya..lagipun di sini semua ada…"

Allahu, runtun hati saya sebagai seorang guru, anak, abang & insyaallah bakal ayah.

Tanpa buang masa, saya dakap pelajar saya dan berbisik kepadanya, dengan rindu dan doa membuatkan kita lebih dekat dengan seseorang lebih-lebih lagi ibu dan ayah. Semoga mereka baik-baik saja sekarang ni.

"Terima kasih cikgu, semoga saya yang banyak dosa ni diampunkan oleh ALLAH dan dimaafkan oleh ibu ayah dan keluarga saya…”

Insyaallah Amin...sebesar-besar dosa, besar juga pengampunan tu..jika Ikhlas dan benar-benar berubah, ALLAH Maha mengetahui Dan Maha pengampun atas segalanya...

Kasih ibu membawa ke Syurga, kasih ayah tiada nilainya..

Semoga kita yang berkesempatan menikmati dunia luar ni mensyukuri nikmat yang masih ada sebelum terlambat.
 

Artikel menarik

'Ayah meninggal kat rumah pengasuh...' - jawapan murid Tahun Satu buat cikgu pening

Ulang alik 340 km sehari, pernah bertembung haiwan liar namun demi anak bangsa, guru ini cekal

Kekok guna penyepit, Cikgu Cina ini lebih selesa makan pakai tangan

‘Rakan sekelas jadi mangsa, imaginasi tinggi murid Tahun Tiga ini di luar jangkauan akal!’