Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak buat pertama kalinya mementaskan sebuah teater muzikal yang diadaptasi daripada Komponen Sastera (KOMSAS) tingkatan 5 bertajuk Mahsuri, bermula 29 Februari sehingga 1 Mac lalu.

Nor Hayati Yusoff

Pengetua Cemerlang SBP Integrasi Gombak, Nor Hayati Yusoff menyifatkan pementasan teater muzikal Mahsuri sebagai pendedahan, pengetahuan dan pengalaman baharu kepada murid-muridnya.

“Pementasan teater ini berupaya membentuk keyakinan diri murid dalam aspek komunikasi, menyerlahkan sisi kreatif mereka di samping membudayakan semangat kerja berpasukan.

“Persiapan bagi persembahan ini telah dilakukan sejak Disember tahun lalu, khususnya pemilihan watak, set, props dan aspek teknikal,” jelas Nor Hayati.

Sementara itu,  Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SBP Integrasi Gombak, Mohd Zahri Abdul Rahim pula berkata, beliau menyifatkan pementasan tersebut sangat bermanfaat kepada perkembangan sahsiah pelajar, disamping melatih mereka untuk tampil yakin di khalayak.

Berbakat

“111 pelajar yang menjayakan pementasan teater muzikal Mahsuri ini, berperanan sebagai pelakon, penari, pemuzik, penyanyi koir dan juga kru produksi. Ia memberikan satu pengalaman dan impak tersendiri kepada kepada semua pelajar yang terlibat,”jelas Mohd Zahri.

Teater tersebut merupakan karya dan arahan tenaga pengajar ASWARA, Azmizi Zakaria manakala Pengarah Muzik pula ialah Cikgu Salehudin Tais yang pernah membimbing pasukan SBP Integrasi Gombak menjuarai Garage Band peringkat kebangsaan pada tahun 2018.

Mahsuri merupakan kisah legenda seorang wanita jelita di Pulau Langkawi yang dijatuhkan hukuman bunuh akibat fitnah, cemburu dan dengki.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Mahsuri bersumpah, pulau itu akan menjadi padang jarak padang tekukur dan tidak akan makmur selama tujuh keturunan.

Kisah ini dipentaskan dalam bentuk yang menepati cita rasa kontemporari tanpa mengabaikan keaslian dan jati diri masyarakat Melayu ketika itu.

Artikel Menarik:

'Kerana sering gatal kepala, Cikgu Aisham nekad kutip kutu murid. Buang tepi jijik, kotor, geli'

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih