TELOK PANGLIMA GARANG - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang mengambil inisiatif menyediakan sarapan secara percuma kepada 1,600 pelajar sesi pagi secara bergilir-bergilir.

Pengetuanya, Salahuddin Hassan Jaba’ie berkata, inisiatif itu dilakukan selepas sebahagian pelajar dikenal pasti tidak bersarapan sehingga menjejaskan proses pembelajaran.

Menurutnya, guru-guru sekolah itu untuk memberi sumbangan dan menyediakan juadah sarapan pagi kepada sekurang-kurangnya 120 pelajar bagi empat kelas setiap minggu.

“Sejak program itu diwujudkan awal tahun ini, kita lihat kebanyakan pelajar yang menikmati sarapan secara percuma di sekolah sudah mula menjadikan sarapan sebagai rutin harian di rumah. Namun terdapat sebilangan mereka yang masih tidak berbuat demikian akibat kurang berkemampuan.

“Bagaimanapun, kita masih berusaha mencari dana untuk membolehkan sarapan dapat disediakan dengan jumlah yang lebih banyak setiap minggu,” katanya.

Salahuddin berkata, pada setiap hari Rabu, pihaknya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2 seorang pelajar melibatkan hidangan sepinggan nasi, kuih dan air panas bagi tiga hingga empat kelas.

"Ia juga bergantung kepada jumlah makanan kerana kadang-kala kami menerima tambahan sumbangan makanan daripada pelbagai pihak lain termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni.

Elak situasi pelajar pitam, pengsan

Salahudin berkata, pihak sekolah mengutamakan kesihatan pelajar,  tidak mahu melihat mereka sakit atau pengsan kerana tidak mengambil sarapan.

Katanya, sebelum ini pernah berlaku kejadian pelajar terjatuh kerana pitam disebabkan tidak bersarapan.

"Disebabkan kejadian itu guru-guru yang bersetuju bergilir-gilir sediakan sarapan kerana mahu setiap pelajar faham pengambilan sarapan adalah penting.

“Di sebelah petang pula, seramai 20 orang pelajar pula dipilih iaitu yang benar-benar kurang berkemampuan untuk diberi makanan secara percuma,” katanya.

Wakil alumni tahun 1974 hingga 1978, Hussin Md Darus berkata, dia menyifatkan usaha sekolah berkenaan sebenarnya dapat memberi contoh kepada sekolah lain.

"Walaupun sekolah terletak di pekan namun masih ramai pelajar yang tidak mampu bersarapan akibat masalah kewangan keluarga. Saya dapat tahu ada antara pelajarnya terpaksa berjumpa guru-guru untuk mohon jasa baik belanja mereka sarapan.

“Tapi bila tanya kenapa, mereka tak nak cerita dan tak ramai nak berkongsi cerita tapi ada juga yang beritahu tak ada duit belanja. Jadi inisiatif guru-guru perlu dipuji,” katanya.

Salahuddin bersarapan pagi bersama sebahagian pelajarnya.

Guru cepat tersentuh, murah hati

Sementara itu, Faridah Abdul Hamid, berkata, beliau antara guru yang sering menjadi tumpuan pelajar meminta pertolongan.

"Sebagai seorang guru saya memang tidak sanggup tengok anak murid susah dan menjadi kemestian saya bantu pelajar-pelajar.

“Baru-baru ini bila nampak pakaian pelajar kotor dan lusuh Bila saya tanya kenapa, dia jawab baju ada satu saja. Jadi, saya minta kebenaran pentadbir untuk bawa keluar pelajar itu beli pakaian baru,” katanya.

Faridah yang turut dilantik mengetuai program kebajikan pelajar di sekolah untuk sesi petang, mengakui, kebanyakan guru hari ini sangat bermurah hati.

"Walaupun hanya sedikit sumbangan dapat diberikan tapi bermakna buat pelajar. Bila kita sayang pelajar, pelajar pun sayang kita balik dan mereka dapat belajar dengan suasana yang selesa dan penuh minat,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Asraf Daniel Mohd Shahril, 16, dari Kebun Baharu berkata, ibunya yang menyara keluarga bekerja menjual kuih selepas kehilangan bapa akibat kemalangan.

"Bila sekolah adakan sarapan percuma saya gembira sangat. Sekurang-kurangnya dapat kurangkan belanja pada waktu rehat nanti sebab dah makan berat sebelah pagi,” katanya.

Siti Nur Sukirah Hairy Azlan, 16, pula berkata, sarapan pagi disediakan sekolah membantu dia berjimat selain duit belanja RM2 dapat digunakan untuk membeli makan pada waktu rehat.

"Memang sebelum ini ada kawan pernah sakit perut dan tak bermaya disebabkan tak bersarapan pagi. Jadi, saya harap program ini diteruskan,

“Paling penting dapat bantu pelajar cergas bila dah minum pagi,” katanya yang merupakan anak kedua daripada enam adik beradik.

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.