Shah Alam - Walaupun belum ditentukan lagi tarikh bermulanya sekolah dibuka, namun para guru dan pentadbir sudah mula membuat persiapan bagi memastikan SOP pencegahan Covid-19 dipatuhi pelajar dan guru.

Pengumuman yang dibuat Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin baru-baru ini memaklumkan bahawa kelas peperiksaan, iaitu Tingkatan Lima dan Enam akan dibuka dahulu dan tarikh buka sekolah dimaklumkan kepada guru dua minggu lebih awal.

Pengetua Cemerlang SMKA Kedah Model Ulul Albab, Mahir Mohamad berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menyumbang 1,000 penutup muka dan lima alat penyukat suhu dengan jumlah keseluruhan RM2,700.

"Kami juga menerima sumbangan penutup muka dan alat penyukat suhu daripada pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar, pengusaha kantin serta syarikat keselamatan dan kebersihan sekolah.

"Pihak sekolah menyediakan 15 botol cecair pembasmi kuman untuk kegunaan guru dan pelajar apabila sekolah dibuka kelak," katanya.

Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Siti Zainab Mohd Taib menerangkan laluan pelajar ketika di kantin kepada Ustaz Mahir.

Sehubungan itu, pihak pengurusan sekolah mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa PIBG yang sentiasa cakna membantu sekolah di saat senang dan susah.

"Pihak sekolah juga telah menerima kunjungan pegawai PPD Kota Setar bagi memantau simulasi sebelum pembukaan sekolah pada pandemik Covid-19 ini.

"Respon yang diberikan pegawai berkenaan sangat positif dan pihak sekolah sememangnya bersedia lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah sebaik sekolah di buka kelak," katanya.

Sementara itu, Guru Cemerlang Hifz al-Quran, Ismail Salleh pula berkata sekolah itu mempunyai 140 pelajar Tingkatan Lima dan 112 pelajar Tingkatan Enam.

"Setiap kelas kami tetapkan hanya 15 orang dan kesemuanya berjumlah 10 kelas untuk Tingkatan Lima dan Enam," katanya.

Setiausaha PIBG, Ahmad Assim Salleh pula memberitahu, pihak PIBG amat berbesar hati dan sentiasa menyokong program sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar tidak terabai khususnya dalam norma baharu pasca Covid-19.

"Kami harap ibu bapa dapat menjaga pergerakan dan mengawal jarak komunikasi agar tidak dijangkiti Covid-19. Komitmen guru dan ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan wabak ini tidak menular di sekolah dan kita sama-sama mendoakan agar negara segera bebas daripada wabak ini," katanya.\

Pekerja pembersihan membantu menyusun meja dalam kelas yang hanya boleh memuatkan 15 pelajar.

Pada 13 Mei lalu, ketika menyampaikan sumbangan bantuan barisan hadapan daripada Majlis Guru Besar Selangor kepada Tabung Covid Sinar dan program Word #Quran Hour di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimim Yahaya memberitahu bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan belum ada perancangan untuk membuka sesi persekolahan kepada pelajar lain terutamanya di peringkat sekolah rendah.

“Kita tahu kita berhadapan dengan satu senario yang kita tak nampak dan berperang dengan sesuatu yang kita tak nampak. Adalah menjadi dasar keselamatan kita untuk memberi keutamaan kepada kelas peperiksaan.

Menurut beliau, bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin, KPM telah menjalankan simulasi kelas peperiksaan menggunakan kaedah terbaik

“Alhamdulillah simulasi kelas peperiksaan yang kita jalankan ini nampaknya berjalan lancar dengan menggunakan kaedah yang terbaik bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

Ahmad Assim menyampaikan sumbangan daripada PIBG kepada Ustaz Mahir (kanan).

Pentadbir ketika menerima kunjungan pegawai PPD (tengah).

Artikel berkaitan:

16 jawapan KPM mengenai pembukaan semula sekolah, persoalan berkaitan guru, pentadbir sepanjang PKPB

Cikgu takkan menyesal guna cara ini tarik minat murid lemah belajar

Teruskan PdP dari rumah, pastikan murid dapat ilmu - Timbalan Menteri Pendidikan II

Hanya tumpu kelas peperiksaan, belum ada perancangan untuk pelajar lain - KPM

'Jumlah pelajar dalam kelas perlu dipecah dua, hanya 17 orag dalam satu kelas' - Dr Mohd Radzi