KUCHING - Sekolah di lapan daerah di negeri ini diarahkan tutup hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit diambil kira sehingga pukul enam petang semalam.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus berkata daerah yang terlibat ialah Kuching, Samarahan, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Bau dan Lundu.

Bagaimanapun, katanya peperiksaan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR) di sekolah terlibat berjalan seperti biasa.

"(Penilaian penutupan sekolah) akan mengikut bacaan IPU setiap pukul 6 petang, kerana keputusan perlu dibuat untuk esok hari.

"Jadi melihat kepada keadaan kualiti udara sekarang ini (hari ini), maknanya mereka (pihak sekolah) kena buat persediaan untuk buka sekolah esok kalau trend bacaan IPU terus menurun,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pagi ini, sebanyak 50,000 topeng muka sekali lagi diserahkan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk diedarkan kepada sekolah-sekolah di seluruh Sarawak.

Kualiti udara di negeri ini bagaimanapun dilihat bertambah baik pagi ini, dengan hanya Sri Aman mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat, manakala Kuching yang sejak tiga hari lepas dalam kategori sama akhirnya mencatat bacaan IPU di bawah 200.

Menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari APM negeri, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 202 setakat pukul 8 pagi berbanding 241 pada 8 malam tadi.

Bacaan IPU di Kuching pula turun mendadak kepada 167 pagi ini berbanding 236 8 malam tadi manakala Samarahan walaupun kekal pada bacaan kualiti udara tidak sihat, namun menunjukkan trend penurunan dengan merekodkan bacaan 132 pagi ini berbanding 186 semalam.

Daerah lain iaitu Sarikei, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dan Sibu yang mencatat bacaan IPU tidak sihat semalam juga mencatatkan bacaan lebih baik hari ini dengan masing-masing kini mencatat IPU sederhana di bawah 100.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menyarankan pihak sekolah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100, jika IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup serta merta. - Bernama

TIP MENARIK:

Dua tajuk penting subjek Sains untuk calon UPSR hafal, ingat - Contoh soalan disediakan (Siri 1)

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Guru ini kongsi 10 panduan skor A subjek bahasa Melayu UPSR

Enam tip berkesan sebelum duduki peperiksaan