Seramai 500,444 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara akan memulakan sesi persekolahan bermula 24 Jun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia melibatkan 2,444 sekolah menengah kebangsaan dan beberapa ratus sekolah antarabangsa di seluruh negara.Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah sejak April lalu.“Garis panduan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah ban­tuan kerajaan, sekolah swasta, institusi yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disaran menggunakan garis panduan tersebut.

“Kebolehlaksanaan garis panduan pembukaan semula sekolah telah dicuba di 12 buah sekolah di bawah KPM dan lapan buah institusi pendidikan swasta (IPS) pada awal Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar khas di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, pembukaan semula sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat dan ibu bapa tidak perlu bimbang keselama­tan anak-anak mereka apabila sekolah dibuka semula nanti kerana pelajar dan guru perlu mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh KKM bagi memastikan dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat.

“Sekiranya ibu bapa atau penjaga mendapati anak-anak tidak sihat atau bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas, tolonglah jangan hantar mereka ke sekolah sebaliknya bawa mereka untuk  pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya.

“Guru-guru bertugas akan memeriksa suhu badan mereka di pintu masuk sekolah dan pemeriksaan suhu badan juga akan dibuat kepada guru, warga sekolah dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, mereka yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

Katanya, setelah pemeriksaan suhu badan dibuat, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang telah ditetapkan untuk menuju ke kelas masing-masing. “Meja-meja pelajar disusun pada jarak satu satu meter dengan kapasiti maksimum untuk sebuah kelas tidak melebihi 20 murid berdasarkan penjarakkan sosial namun untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah, kapasiti akan lebih tinggi,” katanya.

Mohd Radzi turut memaklumkan bahawa KPM akan mengumumkan sebarang perkembangan berkaitan sesi persekolahan dari masa ke masa dan pembelajaran di rumah akan diteruskan.

Katanya, pendekatan pembelajaran akan dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan yang ada di sekolah.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, KPM masih meneliti untuk melakukan perubahan bagi takwim persekolahan termasuk kemungkinan menggunakan tempoh lazim cuti persekolahan bagi menggantikan sesi pembelajaran.

Menurutnya, perkara itu tidak diputuskan sebelum ini kerana masih tiada tarikh memulakan sesi persekolahan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, mengambil kira pengumuman tarikh yang telah dibuat, perkembangan hasil penelitian itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Artikel berkaitan:

Pelaksanaan : Pengurusan Prasarana

Pengurusan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) : Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Pengurusan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) : Penglibatan Ibu Bapa/Penjaga

Pelaksanaan : Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)